SUPP nyala lilin peringati jasa arwah Adenan

SRI AMAN: Bendahari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Francis Harden Hollis berkata mengenang jasa Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Haji Adenan Satem membangunkan Sarawak, SUPP Sibu, Miri dan Bintulu mengadakan beberapa acara pada Khamis memperingati pemergian Adenan.

Beliau turut menyeru agar SUPP peringkat cawangan mengadakan program serupa agar penduduk peringkat akar umbi dapat terus mengingati jasa arwah Adenan.

Harden yang juga Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti menghadiri upacara memperingati Adenan anjuran SUPP Simanggang di Taman Tebingan Sungai Sri Aman.

Pengerusi SUPP Simanggang itu mengetuai ahli SUPP dan Ketua Kaum menyalakan lilin bersempena upacara tersebut pada 6.30 petang.

Pada masa yang sama, Harden turut meminta penduduk memberi sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menggantikan arwah.

Menurut Harden, selain melaksanakan Ekonomi Digital untuk manfaat rakyat Sarawak, Abang Johari perlu meneruskan perjuangan Adenan dalam menuntut hak Sarawak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). — Sarawakvoice