Stesen tv untuk promosi dasar, lebih slot untuk produk penyiaran dari Sarawak — Abang Johari

0
7

KUCHING: “Memang sudah tiba masanya untuk kita mempunyai stesen televisyen sendiri,” akui Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam pertemuan eksklusif bersama sarawakvoice.com pada Rabu lalu.

Tegasnya, banyak faktor yang menyumbang ke arah itu dan antaranya termasuklah slot-slot oleh stesen televisyen tempatan sedia ada yang mengecewakan serta tidak mengcukupi.

“Kita telah menubuhkan Lembaga Multimedia Sarawak dan ini membolehkan kita mempunyai stesen televisyen kita sendiri.

“Idea ini telah saya utarakan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Katanya, Datuk Salleh mencadangkan TVi milik Radio Televisyen Malaysia, namun beliau menolak.

“Saya kata tidak! Kita guna cara kita sendiri.

“Ideanya ialah menjadikan ia sebagai sebahagian daripada transformasi digital kita.

“Kita ada infrastruktur digital, bermakna kita akan ada tv digital.

“Transmisinya tidak akan mendatangkan masalah,” katanya lagi.

Stesen televisyen ini katanya, bertujuan untuk mendidik.

“Kalau ada dasar baharu…senang untuk dipromosikan.

“Misalnya kita hendak menggalakkan penanaman durian,  jika ada televisyen, ia memudahkan proses mendidik cara-cara menanam durian berkualiti yang kini mahal harganya,” katanya lagi.

Tambahnya, melalui stesen televisyen ini juga, kerajaan dapat berkongsi dengan rakyat akan apa yang telah dirancang dan dilaksanakan.

“Kita mahu rakyat tahu apa yang sedang dan telah kita buat.

Pada masa yang sama katanya, ia turut membantu industri kreatif di negeri ini terutama karyawan pentas dalam mengetengahkan bakat mereka.

“Mereka akan ada saluran untuk seni dan budaya serta pengembangan bakat, termasuk dalam bidang animasi,” jelasnya lagi.

Abang Johari yakin stesen televisyen ini kelak ada berpotensi untuk berkembang lebih jauh, namun mengelak untuk memberitahu tarikh mulanya.

“Insya-Allah. Tunggulah apabila tiba masanya,” jelasnya lagi.

Ketika ini, antara yang bertanggungjawab menasihati Abang Johari dalam ehwal komunikasi ialah mantan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Nurhayati Ismail. — Sarawakvoice