“Saya kehilangan seorang rakan karib, seorang abang!” — Ahmad Zahid

Pemergian Celestine Ujang sentuh hati Timbalan Perdana Menteri

KUCHING: “Saya kehilangan seorang rakan karib, seorang abang kerana sudah terlalu lama mengenali mendiang dan berjuang bersama di arena politik,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Beliau menyifatkan kematian bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Mendiang Tan Sri Celestine Ujang Jilan satu kehilangan besar kepadanya.

“Kami mula mengenali sejak 1987 ketika bersama menyertai Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) dan banyak pengalaman kami tempuh bersama dalam arena politik.

“Malah, beliau juga sebahagian daripada keluarga saya, begitu juga sebaliknya,” katanya yang terbang khas dari Subang semata-mata untuk melakukan penghormatan terakhir kepada mendiang.

Ahmad Zahid meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi keluarga Celestine. Ketibaan beliau disambut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan menantu mendiang, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Turut hadir, Datuk Seri Stephen Rundi Utom selaku menteri pengiring.

Sejurus selepas itu, beliau kembali ke hotel penginapannya untuk majlis makan malam tertutup yang dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan kesemua Timbalan Ketua Menteri dan menteri kabinet negeri.

Celestine, 71, bekas Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ketua Pemuda parti komponen BN paling lama berkhidmat meninggal dunia di Hospital KPJ pada jam 7.48 malam Rabu lalu selepas rebah di rumahnya di Tabuan Jaya, di sini kira-kira jam 6 petang.

Mendiang meninggalkan seorang balu serta tiga anak perempuan.

Mendiang dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena sejak 1974 dan pernah memegang beberapa portfolio antaranya Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Menteri Perumahan selain pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak mulai 1981 hingga 1987.

Beliau kekal dengan PBB ketika parti itu menghadapi krisis paling besar, peristiwa Ming Court 1987.

Ahmad Zahid berlepas ke ibu negara jam 7.30 pagi tadi dan dijangka menghadiri satu majlis rasmi di kawasan Parlimennya di Bagan Datok pada jam 9 pagi. — Sarawakvoice