Polis akan panggil lagi beberapa individu berkaitan kes pindah hak milik tanah Felda

KUALA LUMPUR: Pihak Polis Diraja Malaysia akan terus memanggil beberapa individu lagi untuk merekodkan keterangan berkaitan isu pemindahan tanah hak milik Felda di Jalan Semarak di sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ketika ini siasatan kes berkenaan masih diteruskan dan kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selewat-lewatnya minggu depan.

“Saya tak boleh dedahkan jumlah saksi yang kita panggil kerana siasatan masih dijalankan,” katanya di satu majlis di sini semalam sambil menegaskan pihaknya serius menjalankan siasatan berkenaan.

Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad antara yang dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada minggu lalu, berkaitan kes pemindahan hal milik tanah yang dipercayai boleh menyebabkan agensi itu kerugian sehingga RM270 juta.

Transaksi berkenaan mencetuskan kontroversi kerana dipercayai dilakukan dengan cara meragukan. — Sarawakvoice

Gambar fail