Pemuda BN Sarawak terus setia di belakang Abang Jo — Fadillah

KUCHING: Dalam tempoh setahun, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah melakukan banyak perkara demi negeri dan negara, kata Menteri Kerja Raya yang juga Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusuf.

“Beliau selaku ‘kapten baru Tim Tok Nan’ telah meneruskan semua dasar dan janji yang dibuat oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem semasa memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRK-11).

“Ini termasuk rundingan berhubung penurunan kuasa dengan kerajaan Persekutuan demi menuntut kembali hak Sarawak,” katanya semalam.

Malah katanya, Kerajaan Negeri pimpinannya telah menghantar satu rombongan ke London untuk meneliti fail dan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak-hak negeri Sarawak ketika ditadbir oleh kerajaan British.

“Ketua Menteri juga telah memperkenalkan dasar baru demi memacu kemajuan negeri Sarawak dengan memperkenalkan ekonomi digital, yang telah disambut baik khususnya oleh golongan muda.

Beliau berkata, atas faktor inilah pendekatan beliau diyakini mampu membawa Sarawak pergi lebih jauh ke arah menjadikannya sebuah negeri maju dan berjaya.

Fadillah yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Sarawak berkata, sayap Pemuda parti itu mengulangi ikrar akan terus memberi sokongan padu dan akan membantu Abang Johari untuk menjadikan Sarawak tempat yang lebih baik untuk semua. — Sarawakvoice