LRT bakal bawa banyak manfaat kepada penduduk

KUCHING: Sistem Aliran Ringan (LRT) yang bakal dilaksanakan di bandar raya ini dan di kawasan sekitarnya bukan sahaja bakal meredakan masalah kesesakan jalan raya yang semakin mencekik di bandar ini dan di kawasan sekitarnya tetapi juga mendatangkan kesan limpahan sosioekonomi yang positif.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam satu temu bual eksklusif dengan SarawakVoice  sempena setahun menjadi Ketua Menteri hari ini, memberitahu bahawa LRT yang bakal dilaksanakan itu akan melonjakkan sistem pengangkutan awam dan perumahan di kawasan terbabit.

“Dengan menggerakkan ekonomi melalui sektor perkhidmatan, ia bakal melonjakkan sistem pengangkutan awam dan pembangunan perumahan di Sarawak,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Petrajaya Rabu lalu.

“Kewujudan prasarana ini juga mampu mewujidkan kuasa beli tinggi dan menggerakkan sektor pelancongan,” katanya.

Kuching dengan sekitar 700,000 penduduk dijangka mencecah sejuta jiwa dalam sekitar lima tahun.

Kini beberapa kawasan  termasuk dari arah Kota Samarahan sesak setiap waktu puncak sehingga meresahkan pengguna jalan raya dan menjejaskan produktiviti.

Yang pasti, ujarnya langkah baharu itu merupakan pendekatan pragmatik untuk mengatasi masalah kesesakan pada jangka panjang, selain dapat membuka banyak kawasan baharu yang akan meningkatkan nilai hartanah di kawasan terbabit. — Sarawakvoice