Kita serius mengenai MA63, rundingan fasa kedua ambil masa kerana libatkan undang-undang dan sempadan — Abang Jo

0
7

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengakui Fasa Kedua Rundingan Penurunan Kuasa berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 akan mengambil masa yang lama.

“Ia mengambil sedikit masa kerana melibatkan undang-undang,” katanya ketika pertemuan eksklusif bersama sarawakvoice.com pada Rabu lalu.

Jelasnya, antara perkara yang akan dibincangkan termasuklah jarak sempadan.

“Kita menubuhkan negara Malaysia berteraskan kepada sempadan yang kita ada iaitu 12 batu nautika dari pantai.

“Mengikut perlembagaan, ia tidak boleh ditukar melainkan persetujuan Kerajaan Pusat dan Negeri.

“Kalau Kerajaan Negeri ‘tidak lulus’, maka itulah titik sempadannya.

Katanya, hal ini disebabkan Sarawak merupakan sebuah entiti di bawah tadbiran baginda Ratu England pada 1954.

“Ini adalah kuasa perundangan dan the law of the sea, kerana membabitkan sempadan negara.

“Bagi kita, kita berada dalam Malaysia dan sempadan itu adalah sempadan negara.

“Namun hak itu masih milik Sarawak. Bukan tiga batu nautika bahkan ia dianggap sebagai EEZ atau Zon Ekonomi Ekslusif.

Katanya, beliau kini menelaah buku “Continental Shelf Limits” yang menggariskan panduan antarabangsa mengenai sempadan.

“Kita melihat serius isu sempadan ini bersandarkan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai laut.

“Kita tidak sebarangan,” katanya lagi.

Katanya, pihaknya kini memiliki bukti yang konkrit dan beliau mempunyai semua dokumen.

“Apabila Datuk Stephen Kalong Ningkan menjadi Ketua Menteri, kerajaan koloni membawa balik semua dokumen dan fail.

“Kini kita dapatkan kembali fail itu dan ‘berbelanja’ untuk memperolehnya semula.

“Ia akan menjadi rujukan di Pejabat Peguam Negeri dan Arkib Negeri,” jelasnya lagi. — Sarawakvoice