Internet lebih murah di Sarawak dalam proses pelaksanaan– Abang Jo

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, tahun 2018 akan menyaksikan semua projek jalur lebar yang dirancang pada tahun lalu akan dilaksanakan.

“Kita sedang berusaha menyediakan kemudahan internet yang laju.

“Internet yang murah untuk semua orang dan kita berbelanja RM1 bilion untuk tujuan itu,” katanya secara eksklusif kepada sarawakvoice.com hari ini.

Tegas Abang Johari, dengan adanya infrastruktur internet berhalaju tinggi ini, ia akan mengubah ekosistem negeri itu.

“Malah saya amat yakin bahawa anak Sarawak boleh dilatih dalam penggunaan teknologi.

“Yang penting kita naikkan prasarana dan platform teknologi ini sama ada di bandar mahupun luar bandar,” tegasnya lagi.

Platform digital katanya, akan digunakan dalam semua sektor termasuk pertanian, media malah pelancongan.

Fasa baharu pembangunan ekonomi digital ini akan dirincikan dalam Persidangan Antarabangsa Ekonomi Digital (Idecs) 2018 pada April ini.

Pada Idecs pertama pada April tahun lalu, rangka pembangunan ekonomi digital ini telah dirumuskan, dan antara hasilnya ialah penubuhan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), yang di bawahnya termasuk Perbadanan Pembangunan Ekonomi Digital Sarawak. — Sarawakvoice