Idea kereta api praktikal, tumbuhkan bandar dan hartanah baru, tarik pelancong — Abg Johari

KAMI di tingkat 22 Bangunan Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya pada Rabu lepas.

Pemandangan bandar raya Kuching 360 darjah dari situ, meskipun agak berkabus petang itu dapat memberi gambaran pembangunan keseluruhannya.

Seorang arkitek pembangunan tahu bagaimana mahu “menyempurnakan lagi” sebuah bandar raya 700,000 jiwa berdasarkan landskap hidup itu.

Kami memasuki pejabat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang sedia memberikan masanya untuk temu ramah eksklusif dengan wartawan Sarawak Voice (SV) sempena 365 hari beliau menjadi “kapten” Sarawak.

Selepas melayan perjumpaan dengan beberapa media sebelum ini, SV mendapat masa “emas” ketika kakitangan awam dan swasta sudah keluar dari pejabat dan pulang ke rumah masing-masing.

Ya, Ketua Menteri kita masih bertugas rasmi di pejabatnya untuk sejam lagi melayan soalan kami di luar waktu pejabat.

Abang Johari berkod kelabu cerah dengan tali leher dipadankan, di sebalik kemeja putih, membetulkan cermin matanya ketika menyambut kedatangan kami.

Beliau tampak begitu gembira, tenang dan ceria, yang penting masih energetik…

Sementara, hari ini, Sabtu, 13 Januari, ketika wawancara ini terbit, genap setahun Abang Johari mengambil tampuk pemerintahan Sarawak sebagai Ketua Menteri keenam daripada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang menghembuskan nafas terakhir, 11 Januari 2017.

Ketika diaju soalan berkaitan pembangunan serta pelan ekonomi, Abang Johari di bilik dingin itu memberi penjelasan cukup signifikan dengan pemikiran yang cukup jernih berhubung perancangannya sebagai pemimpin rakyat.

Ini menggambarkan beliau sangat tahu perkara yang mahu dilakukan dengan betul untuk rakyat dan Sarawak.

Kereta Api Untuk Kuching Praktikal

Ketika kami cuba membawa relevannya isu LRT dengan jumlah penduduk Sarawak yang tidak sampai 10 peratus populasi Malaysia iaitu hanya 2.7 juta berbanding penduduk Malaysia 32 juta, Abang Johari menjawab mudah.

“Populasi (Republik) Estonia hanya 1.3 juta dan ibu negerinya Tallinn hanya mempunyai 400,000, tetapi (mereka) memiliki sistem kereta api di dalam bandar,” ujar Abang Johari.

Beliau membayangkan populasi bandar raya Kuching jauh lebih besar dan dijangka mencapai sejuta orang pada masa terdekat, tanpa mengambil kira kehadiran pelancong serta warga negara jiran yang keluar masuk.

“Kereta api kita berlainan daripada yang sudah ada di Semenanjung. Pertama kereta api yang kita cadang bukan bertingkat atau mempunyai landasan bertingkat.

“Kedua, (kita) menggunakan sumber tenaga hidrogen,” ujar beliau.

“Kita bina rel selari dengan jalan raya, dan kereta api kita tak panjang hanya empat gerabak,” perjelas Abang Johari yang ketika itu suaranya sedikit rendah seperti berbisik mengatakan beliau tidak pernah menggambarkan operasi kereta api tersebut kepada media sebelum ini.

“Sedikit sahaja dahulu,” katanya berseloroh dan sempat menambah bahawa kereta api ini mampu membawa 200 penumpang pada satu-satu perjalanan.

Sangat jelas di sini, kereta api yang dicadangkan relevan dan sesuai berpijak di bumi nyata.

Ia bukan omong kosong seperti dilontarkan oleh pembangkang sebelum ini.

Abang Johari membayangkan bahawa prasarana dan kemudahan tersebut sudah ada dan hanya perlu menambah dan merancakkan pembinaannya.

Mengambil contoh kereta api seumpamanya di Eropah, ia bergerak selari dengan jalan raya bersama-sama kenderaan lain, cuma perjalanannya agak lancar dan laju kerana berada pada landasan yang sudah ditetapkan.

Pada sebahagian tempat tertentu, kereta api bandar ini terpaksa memasuki jalan utama, di sinilah ia mengambil jalan silih berganti dengan kenderaan lain di jalan raya.

Menurut Abang Johari, kereta api ini akan dibangunkan di Kuching sebagai sentrik, kemudian diperluaskan menuju Bau dan Serian, kemudian ke Samarahan memberi kemudahan kepada pelajar univerisiti dan Damai untuk menuju pusat peranginan di Santubong.

Menurut beliau, pelancong mesti teruja menggunakan kereta api ini, dengan ini sektor pelancongan mendapat manfaat maksimum daripada kemudahan ini.

Setiap perjalanan ini dianggarkan mengambil masa hanya 30 ke 45 minit untuk perjalanan sehala menuju sentrik di pusat bandar.

Dengan merealisasikan kereta api bandar ini sepanjang jalan yang dilalui sistem pengangkutan ini dapat dibangunkan tapak perumahan baru atau munculnya bandar baharu.

Justeru, Pembangunan Penarafan Transit (TRD) ini memberi banyak faedah dan keuntungan kepada banyak pihak termasuk pemaju, rakyat dan peniaga yang akhirnya membantu merancak dan mengembangkan asas ekonomi negeri.

Abang Johari mengaku, kajian berkaitan kereta api bandar tersebut sudah siap dan kini memasuki fasa sebutan kos.

Pada Februari, plan master bagi projek tersebut disediakan untuk dibawa ke kabinet sebelum dihebahkan ke pengetahuan umum.

Abang Johari percaya projek sistem pengangkutan ini memberi impak kepada ekonomi negeri dan memberi kesan langsung kepada industri pelancongan di negeri ini.

Abang Johari sangat tekun untuk cuba memperjelas gambaran rel kereta api yang dimaksudkan dengan cuba melukisnya di atas sekeping kertas semili.

Begitu juga apabila beliau bercakap berkaitan tuntutan hak Sarawak yang dikatakan terhakis melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau membuka buku yang didakwanya hanya dua naskhah di negara ini, satu ada pada beliau dan satu lagi ada pada Peguam Negara.

Beliau bersungguh membaca petikan buku tersebut yang membincangkan hak sempadan pantai menurut pakar antarabangsa.

Ini bermakna, beliau sememangnya serius mengkaji dan mencari fakta berkaitan MA63 yang tertakluk kepada undang-undang negara itu.

Anjak Fikiran Terima Idea Baru

Bercakap tentang ekonomi digital serta pengurusan sumber di Sarawak seperti ekstrak hidrogen dari sumber air serta melibatkan idea masa depan, termasuk kemajuan Artificial Intelligence (AI) atau kepintaran buatan, Abang Johari menekankan perihal pentingnya generasi muda dan masa depan negeri ini menganjak pemikiran mereka.

Anjakan paradigma ini di kalangan golongan muda negeri ini, berubah serta beralih kepada ekosistem yang baru dengan teknologi yang baharu.

Golongan muda ini harus berani meninggalkan zon selesa demi perubahan, mereka mesti berani menghadapi masa depan kerana apabila teknologi dan pengetahuan baharu masuk, generasi langit terbuka ini tidak dapat menolaknya.

Beliau mengambil contoh, apabila permintaan dunia pengangkutan termasuk di kalangan pelancong global mahu menggunakan perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan Uber berdasarkan perkembangan internet dan aplikasi telefon pintar dan dunia digital, kita tidak dapat menghalangnya.

Kita mungkin boleh mengawal faktor dalam negeri, tetapi faktor luaran dan global yang masuk ke dalam negeri sukar dikawal.

Pengguna e-hailing memiliki aplikasi ini semenjak mereka berada di negara sendiri serta ketika mereka melancong di negara lain di serata dunia termasuk di Malaysia.

Abang Johari menasihati semua generasi baru di Sarawak ini mengambil peluang yang cuba dibawa oleh beliau.

“Kita bertuah kerana kita ada sumber yang banyak,” katanya.

Menurut beliau, dengan kejayaan perancangan ini Sarawak akan menjadi tumpuan semua masyarakat luar termasuk peniaga, pelabur  dan sebagainya yang datang dengan sendiri ke negeri ini apabila mereka yakin dengan keharmonian dan kestabilan di negeri ini.

Abang Johari menggariskan tiga perkara atau elemen penting bagi generasi baru era digital ini berfungsi iaitu:

i. Menganjak atau mencerakin cara berfikir dengan input yang baharu.

ii. Tiada lagi zon selesa, justeru generasi baharu ini berada dalam zon yang penuh dengan cabaran dan persaingan. Jadi bagaimana kita mendepani cabaran ini. Pada masa yang sama, kita wajar melahirkan gagasan baru dalam ekosistem yang serba baru.

iii. Dengan melepaskan zon selesa, menjadi kewajipan pemimpin membangun strategi baru, meninggalkan keselesaan lama dan berubah meneroka model baharu.

Menurut Abang Johari demi memikirkan kehidupan generasi yang akan datang, yang kehidupan mereka semuanya berubah, di sinilah beliau berperanan sebagai pemimpin tertinggi mencetuskan perubahan dengan menggarapkan ekonomi digital sebagai modal penting. — Sarawakvoice

Profesor Madya Jeniri Amir ialah penganalisis politik yang kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak