BN S’wak bekerja keras capai status ekonomi maju untuk negeri ini 2030

KUCHING: “Kami (BN) punya tugas untuk mencapai sasaran 2030 sebagai negeri yang mempunyai status ekonomi maju,” ujar Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau menambah, “kami kini bekerja dalam pasukan mantap menjadikan ia terlaksana.”

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa BN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako, beliau menekankan sekali lagi bahawa Sarawak akan terus kekal berada dalam Malaysia selama-lamanya.

Abang Johari menyifatkan hubungan BN Sarawak dengan BN Pusat sangat baik.

Sementara, kerjasama kedua-dua pihak selama ini mampu mewujudkan suasana baik untuk membangun Sarawak dalam Malaysia.

Abang Johari menegaskan, beliau mempunyai pendekatan sendiri membangkitkan semula isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pada masa yang sama beliau berkata Sarawak berterima kasih kepada Perdana Menteri atas sikap terbuka beliau.

Mesyuarat berlangsung pada Jumaat merupakan mesyuarat pertama untuk 2018 membincangkan beberapa isu dan perkara yang perlu dilakukan untuk masa depan Sarawak. — Sarawakvoice