Abang Johari yang sederhana, workaholic dan peminat facebook

KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyambutbulang tahun pertamanya sebagai Ketua Menteri Sarawak dengan cukup sederhana.

Penggemar “kopi” dan motosikal besar ini tidak membezakan hari ini dengan hari yang lain. Jadualnya terus padat dan ketat.

Pada pagi ini, rutin beliau akan dimulakan dengan menghadiri Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi enam cawangan dalam Zon 3 (N18 Serembu, N9 Mambong, N20 Tarat, N21 Tebedu, N22 Kedup dan N23 Bukit Semuja) di ibu pejabat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di Jalan Kumpang, di sini sekitar jam 10 pagi nanti.

Pada jam 2.30 petang, beliau akan berada di Mukah untuk merasmikan  Perhimpunan Agung Tritahunan PBB Zon Mukah (N56 Dalat, N57 Telian dan N58 Balingian) di Kingwood Resort sebelum menghadiri Majlis Makan Amal Persatuan Jatti Meirik Miri (PJMM) 2018 di Hotel Imperial, Miri pada jam 8 malam.

Itulah rutin harian beliau hampir saban minggu, dan sekiranya berada di pejabatnya di Tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia, jadualnya padat dengan mesyuarat serta kunjungan hormat yang tidak pernah jeda.

“Beliau hanya berehat seketika untuk solat. Tetamu bertali arus,” kata salah seorang pembantunya.

Bagi isterinya, Datin Patinggi Jumaani Tun Tuanku Haji Bujang, ruang waktu untuk bersama keluarga memang kurang, biarpun beliau amat merindui cucu-cucunya.

“Makan bersama seluruh keluarga agak berkurangan. Namun bersyukur hujung tahun lalu sempat bercuti seluruh keluarga,” katanya lagi.

Anaknya, Abang Abdillah Izzarim yang menetap di Kuala Lumpur mengakui kesibukan bapanya, namun menjelasnya dengan satu perkataan: “workaholic”.

Mengenali Abang Johari untuk lebih 30 tahun, penulis melihat beliau seorang yang begitu mengutamakan disiplin bekerja.

Beliau amat mementingkan integriti, namun sifat simpatinya amat tinggi.

“Malah beliau tidak mahu dilihat  bermegah dengan kedudukannya ini,” kata seorang lagi pembantu.

Kerana itulah beliau memberi penegasan kepada semua pejabat kerajaan dan parti semalam, ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional.

“Tiada iklan tahniah sempena setahun beliau mentadbir. Usah membazir,” memetik Ketua Setiausaha Politiknya, Abdullah Saidol.

Tidak ramai yang tahu, tetapi sumber rapat dengan keluarga memberitahu, rutin Abang Johari adalah menelusuri laman sosial terutama facebook menonton berita serta membaca buku.

“Beliau tidur jam 1 pagi dan bangkit jam 4 pagi,” kata Jumaani lagi.

Ternyata rutin beliau sebagai Ketua Menteri cukup hebat, cukup padat dan cukup memenatkan.

Kepada Abang Johari, tabik! Semoga pascatahun pertama terus melonjakkan prestasi Datuk Patinggi. — Sarawakvoice