Abang Johari yakin BN dapat rampas 2 kerusi daripada DAP dalam PRU-14

KUCHING: Ketua Menteri yakin Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali sekurang-kurangnya dua kerusi dalam pilihan raya umum akan datang.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam temu bual eksklusif dengan SarawakVoice di pejabatnya Rabu lalu berkata keyakinan itu bersandarkan rekod cemerlang BN dari segi membawa pembangunan di negeri ini termasuk di luar bandar.

Tanpa menamakan kerusi berkenaan walaupun  diminta berbuat demikian, Abang Johari yang juga Pengerusi BN negeri berkata, satu daripada strategi ialah menampilkan muka  baharu.

Namun penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak Profesor Madya Dr Jeniri Amir yakin kerusi yang dimaksudkan Abang Johari ialah Sibu dan Sarikei.

Pada PRU lalu BN memenangi 25 kerusi manakala DAP lima dan PKR satu kerusi.

“Faktor umur, prestasi perkhidmatan dan maklum balas pelbagai agensi risikan antara perkara yang diambil kira dalam menentukan muka  baharu,” katanya.

Beliau turut menyatakan muka  baharu turut membabitkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterajuinya.

Pada PRU-13 parti tulang belakang BN Sarawak itu menyapu bersih kesemua 14 kerusi ditandinginya.

“Kita perlukan muka baharu kerana kita berada dalam era dan proses transformasi,” katanya sambil mengakui mereka yang bakal digugurkan belum lagi dimaklumkan.

Kini ada usaha pihak tertentu untuk melobi dicalonkan muka  baharu di beberapa kawasan termasuk Mukah dan Puncak  Borneo.

“Kita mahu catatkan kemenangan  bergaya pada PRU-14 bagi pastikan kelangsungan agenda pembangunan, ” ujarnya.

Ketika ditemui Abang Johari jelas begitu ceria menjelang tiga hari ulang tahun pertama dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam. — Sarawakvoice