Abang Johari akui sedang siapkan pelapis Ketua Menteri

0
4

KUCHING: Faktor usia dan keperluan untuk mempersiap pelapis menjadi punca Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bercakap mengenai peralihan, biarpun belum setahun berada di puncak kuasa.

Jelasnya, beliau sendiri merupakan  kelompok muda daripada generasi kedua penubuhan Malaysia dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Ketika bapa saya (Tun Abang Openg Abang Sapiee) dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri yang pertama, saya hanya berusia 12 tahun,” katanya dalam pertemuan eksklusif bersama sarawakvoice.com di pejabatnya pada Rabu lalu.

Katanya, politik era Tun Abdul Taib Mahmud adalah penubuhan Malaysia manakala Tan Sri Adenan Satem menjambatani era tersebut ke era baharu.

“Politik sekarang adalah lahir atau membesar selepas Malaysia, dan saya dalam golongan itu. Bermakna perlu ada kesinambungan.

Katanya, beliau bernasib baik kerana bermula awal dalam transisi dan yang keduanya, saya berada pada era di mana teknologi menjadi penting.

“Saya nampak di antara lima, sepuluh dan dua puluh tahun akan datang, ia lebih berubah disebabkan teknologi.

“Ia akan lebih mudah dan liberal.

Era pada waktu itu katanya, bukan era beliau tetapi “era orang muda”.

“Bermakna dalam sistem politik, mesti ada pelapis.

Ditanya kenapa membayangkan pemimpin pelapis terlalu awal, beliau memberikan justifikasi bahawa tempoh 10 ke 15 tahun adalah terlalu pantas dan singkat.

“Hari ini sahaja sudah setahun. Kalau saya mentadbir 10 atau 15 tahun, realitinya, umur saya telah meningkat.

“Dan realitinya, ia adalah era orang lain kerana faktor usia ini. Dan dari sudut fisiologi, akal pemikiran kita mungkin berkurangan.

“Kita harus menerima hakikat bahawa tidak selamanya kita “sihat”.

“Bermakna jika kita tidak lagi cergas, kita perlu menyediakan pelapis dari sekarang.

Tegasnya, beliau tidak akan memainkan peranannya sebagai pemimpin jika hanya memikirkan eranya sahaja dan tidak menyediakan pelapis.

“Apabila tiba masanya, saya perlu bersara. Lepaskan semuanya.”

Abang Johari kini berusia 66 tahun, dan mempunyai empat tahun lagi sebelum memperoleh mandatnya sendiri.

— Sarawakvoice