Abang Jo: Kawasan Bidayuh bakal muncul sebagai pusat pengeluaran buah-buahan dan tarikan pelancongan

0
6

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin kawasan populasi Bidayuh di Serian hingga Bau, Lundu dan Sematan berpotensi untuk muncul sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu di negeri ini.

Beliau kemudian menamakan kelebihan-kelebihan yang melonjakkan potensi tersebut.

“Pertamanya tanahnya yang subur; kedua, kemudahan infrastruktur yang dimiliki.

“Apa yang diperlukan sekarang adalah menaik taraf infrastruktur internet,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Perhimpunan Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi enam cawangan dalam Zon 3 (N18 Serembu, N9 Mambong, N20 Tarat, N21 Tebedu, N22 Kedup dan N23 Bukit Semuja) di ibu pejabat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di Jalan Kumpang, di sini pagi tadi.

Kelebihan lain kawasan ini ialah ia terletak berhampiran dengan pelabuhan dan lapangan terbang.

“Ia juga dalam lingkungan pusat bandar manakala komuniti Bidayuh terkenal sebagai kelompok yang berbakat besar dalam pelbagai bidang.

Apabila semua ini digabungkan, katanya, apa yang tinggal adalah untuk memacukan potensi-potensi ini.

“Pemimpin-pemimpinnya pula, bersatu biarpun mereka daripada parti yang berbeza dan ini akan menghadirkan impak positif.

Jelasnya lagi, kawasan Bidayuh amat menarik kerana memiliki pelbagai potensi.

“Di sini ada taman negara, kawasannya indah malah sesuai untuk proses terapi pascarawatan.

“Apa yang perlu ialah infrastruktur, termasuk pusat pengumpulan buah-buahan.

Katanya, sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan bermesyuarat pada bulan depan bagi membincangkan potensi ini.

Terdahulu dalam ucapannya di hadapan lebih dua ribu ahli PBB yang hadir, parti itu kini lebih terbuka dan mengutamakan inklusiviti.

“Kerana itu kita mahu parti ini (PBB) bergerak ke arah teknologi digital dan menjuarainya, sebelum diperkenalkan kepada rakyat.

“Kita perlu lebih terbuka dan peka kepada perubahan teknologi.

Dengan teknologi inilah jelasnya, beliau mahu kawasan populasi Bidayuh ini dibangunkan sebagai pusat pengeluaran buah-buahan utama di negeri ini, selain daripada Bukit Sadok di Betong.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin Jawong dalam alu-aluannya memberi jaminan bahawa komuniti itu akan terus menjadi kubu kuat PBB dan Barisan Nasional (BN).

“Kami mengetepikan perbezaan parti kerana pada waktu pilihan raya, kami memilih hanya satu suara untuk masyarakat Bidayuh iaitu BN,” katanya lagi.

Beliau juga berterima kasih atas pelbagai kelulusan projek pembangunan oleh Abang Johari termasuk pembinaan baharu Kompleks Pemeriksaan Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Tebedu, Pejabat Residen dan Daerah Serian serta Pejabat Daerah Bau.

Manyin turut mendedahkan masih ada lima peratus perkampungan Bidayuh yang tidak dihubungi jalan raya serta ketiadaan elektrik dan sumber air bersih.

Dewan Undangan Negeri yang terletak di kawasan Bidayuh termasuklah Tebedu, Kedup, Mambong, Bukit Semuja, Tarat, Serembu, Tasik Biru dan Opar manakala kawasan Parlimen ialah Mas Gading, Puncak Borneo dan Serian. — Sarawakvoice