Sunday, May 22, 2022

Warga emas maut dalam kemalangan 4 kenderaan langgar belakang di Jalan Kuching-Sri Aman

Secara Rawak

SERIAN: Seorang wanita warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan empat kenderaan di kilometer 99, Jalan Kuching-Sri Aman di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, kemalangan yang berlaku pada jam 1.35 petang itu dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton FWD yang datang dari arah Sri Aman memberhentikan kenderaan yang dipandunya sebelum merempuh bahagian belakang sebuah Perodua Axia yang berhenti di belakang sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Akibat rempuhan itu, kenderaan Perodua Axia telah terperosok ke bahagian bawah pacuan empat roda Toyota Hilux, yang turut melanggar bahagian belakang sebuah lagi pacuan empat roda, jenis Toyota Fortuner yang sedang berhenti.

Lokasi kemalangan kata Aswandy, berlaku di jalan lurus dua hala dan terdapat pengawal bendera Projek Lebuh Raya Pan Borneo sedang bertugas di lokasi kemalangan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.13 petang dan dua jentera bomba jenis Atego dan FRT, serta sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan 17 anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan dan Serian.

“Sejurus tiba di lokasi, pasukan terlibat pantas membuat penyelamatan terhadap mangsa di dalam kenderaan Perodua Axia yang didapati cedera.

“Mangsa dalam tiga buah kenderaan yang lain berjaya keluar sendiri.

“Sejurus dikeluarkan, mangsa pantas dikejarkan ke Hospital Serian oleh unit EMRS untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Aswandy lagi, mangsa yang cedera merupakan warga emas yang menumpang di bahagian belakang Perodua Axia,  dan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan leher.

“Mangsa yang dikenal pasti sebagai Inta Emparu, 68 tahun, bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Serian.

Katanya lagi, pihak polis masih menyiasat punca sebenar kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru