Saya sik dapat jadi “klon” Adenan — Abang Jo

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menafikan beliau adalah “klon Tan Sri Adenan Satem” ketika mengambil alih tugas tersebut setahun lalu.

“Perkara pertama yang saya lakukan ialah meneruskan dasar-dasar beliau yang terhenti (kerana kematiannya).

“Pertamanya, terus meneguhkan dasar mengutamakan rakyat biarpun cara beliau (Tok Nan) dan cara saya berlainan.

“Saya sik dapat jadi ‘klon Adenan’ kerana kami berbeza, namun dasar mengutamakan rakyat ini tetap diteruskan,” katanya ketika pertemuan eksklusif bersama sarawakvoice.com sempena setahun menerajui Sarawak.

Bagi mengotakan hasrat ini kata Abang Jo, beliau telah berkunjung ke beberapa kawasan luar bandar termasuk Limbang, Bintulu, Sibu, Betong.

“Di sini saya telah umumkan beberapa projek infrastruktur. Antaranya termasuklah Lembah Rangau di Limbang dan juga kemudahan infrastruktur di luar bandar Limbang.

“Saya juga telah meluluskan jambatan di Kemena, yang akan menghubungkan Kampung Jepak dan bandar Bintulu, selain meluluskan jambatan di Sebauh, yang akan mengubah landskap pembangunan kawasan tersebut.

Tegasnya lagi, beliau turut mengumumkan pembinaan jambatan di Marudi dan jalan raya di Belaga, seterusnya menyelesaikan isu infra rakyat yang menghambat penduduk kawasan ini selama ini. — Sarawakvoice