Masuki tahun kedua, Abg Johari sedia beraksi realisasi, laksana pelan ekonomi digariskan

PETRA JAYA: Setahun yang lalu, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyandang di bahunya legasi Allahyarham Tan Sri Adenan Satem menjadi Ketua Menteri Sarawak Keenam pada 13 Januari.

Abang Johari memanfaatkan 365 hari memikul amanah yang ditinggalkan Adenan atau panggilan “marhaen”nya Tok Nan.

Di situlah Abang Johari menjelajah Sarawak khususnya kawasan luar bandar membereskan amanah Adenan yang mahu luar bandar “dirapatkan” dengan bandar.

Selain Pan Borneo memainkan peranan ini, pembinaan jambatan, prasarana setempat, kemudahan jalan kampung, air dan elektrik perlu diberi perhatian.

Sarawak yang hampir seluas Semenanjung dengan bentuk fizikalnya bergunung-ganang dan banyak sungai, memerlukan banyak masa dan pengorbanan menggalas tanggungjawab ini.

Pada masa yang sama, Abang Johari masih cekal membincangkan isu yang dibangkitkan Adenan berkaitan pengembalian hak Sarawak yang dikatakan terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Isu ini tidak mudah kerana ia melibatkan undang-undang negara.

Sementelahan, dari segi ekonomi, Abang Johari percaya, beliau bukan klon Adenan dan memiliki kekuatan tersendiri mencetuskan fenomena itu.

Semasa memberi wawancara khas kepada krew Sarawak Voice di Pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya, Abang Johari meletakkan diri beliau sebagai pemimpin generasi baru.

Pada wawancara sempena 365 hari beliau memerintah Sarawak sebagai Ketua Menteri, justeru, Abang Johari yakin beliau memiliki model ekonomi tersendiri menganjak negeri ini ke era baru.

Cetuskan Gagasan Ekonomi Digital

“Dari sudut ekonomi saya mempunyai model saya sendiri, sebab itu saya unjurkan ekonomi digital.

“Ini kerana kalau hendak membangun sebuah negeri dengan pendapatan tinggi, kita mesti mempunyai prasarana moden menggerakkan ekonomi moden,” ujar Abang Johari semasa wawancara eksklusif dengan wartawan SV di tingkat 22.

Abang Johari percaya, sebagai pemimpin generasi baru, beliau perlu menggunakan kaedah baru teknologi pada masa yang sama beliau yakin generasi baru Sarawak dapat dilatih dalam kemahiran teknologi.

“Yang penting kita naikkan taraf platfom dan prasarana teknologi ini, kita hendaklah mempunyai kelajuan internet yang turut mengubah ekosistem di bandar atau luar bandar Sarawak,” tambah Abang Johari.

Menurut beliau, sebaik sahaja menjadi Ketua Menteri beliau meminta Setiausaha Kerajaan Negeri mengadakan Persidangan Antarabangsa ICT, Prasarana dan Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) awal April 2017 dengan membawa penulis dan pencetus serta pakar bidang ekonomi digital seawal 1994 ini, iaitu Don Tapscott dari Kanada membuat pembentangan gagasannya di Sarawak.

Menurut Abang Johari, melalui IDECS pendekatan membangunkan ekosistem digital bermula dengan langkah proaktif menaik taraf internet melalui peruntukan RM1 bilion.

Abang Johari dalam kenyataannya mengaku, selain melaksanakan amanah Adenan membereskan tugas yang perlu diselesaikan, setahun pertama tanggungjawab beliau sebagai Ketua Menteri banyak digunakan untuk merangka dan merancang ekonomi Sarawak.

Kini, memasuki tahun kedua sebagai Ketua Menteri merupakan tahun bagi beliau beraksi merealisasikan dan melaksanakan semua perancangan tersebut

“Kita menubuhkan Autoriti Multimedia Sarawak (SMA) yang menggubal dasar dan melahirkan ekosistem digital ini,” ujar Abang Johari.

Beliau menambah, teknologi digital sedia digunakan dalam sektor ekonomi, pertanian, media sosial, perkhidmatan wisata atau pelancongan, dan menjadi platfom bagi memasuki pasaran. — Sarawakvoice