Ibarat “sudah lama mati, cuma baru nak tanam” — Mahfuz terima kasih kepada Hadi

KUALA LUMPUR: “Terima kasih Tok Guru kerana mengibaratkan saya ‘sudah lama mati cuma baru nak tanam’,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengucapkan terima kasih kepada Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mahfuz yang keluar Pas pada detik akhir malam penutup 2017, menganggap kiasan yang keluar dari mulut Tok Guru Hadi Awang dan tujukan pada beliau itu sebagai penyuntik kekuatan dan melonjakkan semangat beliau berjuang.

“Saya mendoakan moga Tok Guru diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dirahmati serta diberkati Allah di dunia dan akhirat,” kata Mahfuz dalam kenyataan beliau.

Mahfuz pada masa yang sama, turut terharu menerima respons positif atas tindakan beliau keluar Pas itu.

Beliau turut maklum akan respons marah dan kecewa diterima daripada kepimpinan Pas.

Mahfuz berkata, beliau berlapang dada tidak berhasrat membalas atau menjawab segala respons negatif termasuk kutukan, sindiran, ejekan dan serangan keras termasuk berunsur peribadi terhadap beliau.

Ujar Mahfiz lagi, “bagi saya hanya cukup membalas dengan senyuman setelah diumpamakan seperti buah buruk oleh Timbalan Presiden Pas Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man kerana sikap itulah yang saya pelajari dari buku tulisan Timbalan Presiden Pas yang berjudul `senyumlah`.”

Mahfuz berkata, sepanjang 34 tahun menganggotai Pas, antara ilmu yang beliau pelajari dan hayati dari kebanyakan tok guru dan ustaz ialah hubungan sesama Muslim atas dasar akidah dan ukhuwah Islamiyah tidak terputus hanya semata-mata perbezaan wadah politik kepartian. — Sarawakvoice

Gambar fail