Fadillah, Empiang tidak pertahan jawatan Ketua Pemuda, Wanita PBB — Abang Jo

KUCHING: Datuk Seri Fadillah Yusuf dan Puan Sri Empiang Jabu hari ini mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan masing-masing pada Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 8 hingga 11 Februari depan.

Fadillah merupakan Ketua Pergerakan Pemuda manakala Empiang adalah Ketua Pergerakan Wanita.

Keputusan mereka itu diumumkan oleh Presiden parti, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebentar tadi, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB selama tiga jam di Ibu Pejabat PBB di sini.

Menurutnya, konvensyen pada kali ini turut menyaksikan tiada pertandingan untuk empat jawatan iaitu dua jawatan Timbalan Presiden dan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda serta Ketua Pergerakan Wanita.

“Kita telah mencapai konsensus bahawa ia tidak dipertandingkan, malah pemegang jawatan berkenaan dipilih berasaskan rundingan,” jelasnya lagi.

Meski tidak dinyatakan dalam sidang media tersebut, berdasarkan usul yang diterima hampir seluruh 82 cawangan PBB, jawatan Presiden yang disandang Abang Johari juga tidak akan dipertanding.

Jawatan Timbalan Presiden kuota Pesaka dan Bumiputera, sudah pasti disandang pemangku jawatan ketika ini, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Pada kali ini jawatan Ketua Pemuda akan disandang oleh Pesaka, dan berdasarkan kekananan dan pengalaman, tanggungjawab ini akan dipegang Adun Layar, Gerald Rentap Jabu.

Ketua Pergerakan Wanita pula bakal dipegang oleh Bumiputera, dengan dua calon yang disebut-sebut ialah Adun Dalat,  Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Difahamkan, kesemua jawatan lain termasuk Naib-naib Presiden Kanan yang dikosongkan Uggah dan Awang Tengah serta Naib-naib Presiden, terbuka untuk pertandingan.

Menurut sumber, antara nama besar yang berpotensi berentap untuk jawatan Naib Presiden Kanan ialah Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Fadillah untuk kuota Bumiputera manakala Datuk Seri Stephen Rundi Utom dan Datuk Alexander Nanta Linggi untuk kuota Pesaka.

“Terpulang kepada anda untuk meneka dan mentafsir. Mungkin bertanding dan mungkin juga tidak.

“Mungkin juga mereka berjaya mencapai konsensus dan tiada pertandingan,” kata Abang Johari lagi.

Perhimpunan Agung PBB yang pertama selepas Abang Jo dilantik Ketua Menteri ini, akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada 11 Februari. — Sarawakvoice