PH sudah lama selesai agih kerusi Parlimen S’wak, runding kerusi Sabah 21 Januari ini

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengakui, pembahagian kerusi Parlimen untuk Sarawak sudah dilakukan selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mei 2016 lepas.

Belajar daripada kekalahan pada PRN Sarawak itu, menurut Saifuddin Pakatan Harapan (PH) mengadakan rundingan lebih awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sementara, memetik China Press, Saifuddin selepas majlis makan malam bersama media di Pulau Pinang pada Rabu berkata, bagi kerusi Sabah pula Harapan mengadakan rundingan agihan kerusi pada 21 Januari ini.

“Kami adakan rundingan dengan Parti Warisan Sabah bagi memastikan tiada pertindihan kerusi,” ujar beliau.

Berkaitan pemilihan Harapan menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, Saifuddin berkata PKR mengarahkan pemimpinnya membuat penjelasan kepada akar umbi berhubung isu tersebut.

Jelas beliau, “Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh melakukan reformasi, manakala Dr Mahathir pula berperanan sebagai penyelamat negara.”