MIRI: Sepasukan 11 anggota Polis Marin Wilayah Lima di sini berjaya menahan seorang lelaki semalam selepas disyaki terlibat menyimpan pelbagai barangan tanpa cukai kastam.

Komandan Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, penahanan dilakukan oleh sepasukan anggota yang diketuai Asisten Superintendan Dunsmore Intih sekitar jam 10 pagi, susulan maklumat risikan.

“Mereka telah menyerbu dan memeriksa sebuah premis di Jalan Beluru-Long Teru di Baram, kira-kira 50 meter dari Sungai Tinjar sebelum menemui stok pelbagai jenis dan jenama rokok, arak dan mercun.

“Antara yang dirampas termasuklah 181 karton rokok pelbagai jenama, yang dianggar bernilai RM26,760 termasuk cukai dan sejumlah 94 botol dan 144 tin arak dengan anggaran nilai termasuk cukai RM5,000.

Kata Sallehuddin, rampasan lain ialah 66 kotak pelbagai jenis dan saiz mercun yang bernilai RM2,980.

“Secara keseluruhan, anggaran rampasan barang seludup ini adalah sekitar RM34,740,” tambahnya lagi.

Katanya, lelaki berusia 38 tahun dari Jalan Pujut di sini telah ditahan dan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Kes diserahkan kepada Pejabat Kastam Bahagian Miri untuk tindakan selanjutnya, katanya. — Sarawakvoice