Calon Perdana Menteri Pakatan Harapan telah diumumkan. Atau ini kes, burung terbang dipipiskan lada?

Mereka sekadar menghitung telur ayam sedangkan ayam belum lagi pasti bertelur.

Semalam, Pakatan  Harapan  yang terdiri daripada empat parti komponen pembangkang – DAP, PKR, Bersatu dan Amanah mengumumkan  Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, manakala timbalannya pula ialah  Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ini kes kitar semula. Barang kitar semula tidak sama nilainya dengan barang asli.

Tetapi, disebabkan terdesak mungkin mereka terpaksa bergantung kepada Tun Mahathir – pemimpin yang memerintah negara ini selama 22 tahun.

Juga pemimpin yang banyak dikritik dan dibidas mereka untuk sekian lama.

Tun Mahathir yang suatu ketika musuh politik pembangkang, kini diangkat kembali menjadi calon Perdana Menteri.

Bukankah ini satu gambaran tindakan yang terdesak? Menggambarkan seolah-olah tidak ada lagi pemimpin lebih hebat daripada Pengerusi Pakatan Harapan itu.

Tidak adakah pemimpin yang lebih  muda,  dinamik dan berwibawa daripada beliau? Atau ini sekali gus menggambarkan kegagalan parti pembangkang melakukan reformasi dalam parti?

Sehingga mereka terpaksa menyerahkan masa depan negara kepada pemimpin yang sudah berusia 92 tahun.

Memang benar dari segi pengalaman, Tun  Mahathir tokoh yang berpengalaman luas? Tetapi adalah pengalaman satu-satunya faktor yang perlu dipertimbangkan?

Mengapakah Pakatan Harapan tidak yakin dengan barisan pemimpin muda?

Anwar  yang kini kini  masih meringkuk di dalam penjara kerana sabitan kes liwat bakal dibebaskan pada 8 Jun ini.

Persoalannya, semudah itukah jalan untuk Ketua Umum Pakatan Harapan itu sampai ke puncak kuasa?

Atau ketika itu, Tun Mahathir akan berkeras tidak mahu berundur? Apakah yang akan jadi jika keadaan ini berlaku?

Melangkah ke hadapan, sebuah parti yang selama ini melaungkan reformasi, perlu meyakinkan 32 juta rakyat bahawa ia benar-benar boleh membawa reformasi. Tetapi sekarang, bagaimana rakyat dapat yakin?

Tindakan Pakatan harapan itu malah boleh disifatkan langkah ke belakang.

Ini kerana UMNO sebelum ini telah pun memilih beliau untuk menjawat jawatan sama 37 tahun lalu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pemilihan Tun Mahathir  sebagai calon Perdana Menteri hanya akan memberi mesej kepada rakyat bahawa negara tidak akan mempunyai masa depan sekiranya pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Cadangan mereka, kalau PH menang, Mahathir akan jadi PM. Apa pembaharuan yang ada? Kalau nak cadang Mahathir jadi PM, BN sudah buat 37 tahun dulu dah,” katanya seperti dilapor astroawani.

“Kalau pilih orang dah lanjut umurnya untuk jadi PM maka ia tidak ada masa depan.

“Tiada cara paling jelas lagi Tuhan nak tunjukkan kepada rakyat untuk buat pemilihan tepat, pilihlah BN,” katanya. — Sarawakvoice