KUALA LUMPUR: DAP akan tetap memenangi jumlah kerusi yang lebih banyak berbanding parti pembangkang yang lain pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang, biarpun parti tersebut diberikan jumlah kerusi yang lebih rendah berbanding parti baru seperti  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kata Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Eric See To.

Menurut Eric, hal ini kerana seperti mana PRU13 dulu, DAP mengambil langkah bijak kerana mereka hanya akan bertarung di kawasan majoriti Cina di mana kebarangkalian mereka untuk menang adalah jauh lebih besar berbanding PPBM dan lain-lain parti pembangkang.

“Situasi ini sama seperti PRU-13 di mana mereka diberi jumlah kerusi yang terendah untuk bertanding, tetapi akhirnya parti tersebut memenangi jumlah kerusi yang terbanyak berbanding PKR dan Pas,” katanya.

“Sebenarnya formula 52-51-35-27 yang disebar oleh Pakatan Harapan hanyalah untuk menipu rakyat Malaysia bagi membina persepsi bahawa parti PPBM adalah parti terbesar di dalam Pakatan Harapan,” katanya merujuk kepada agihan kerusi kepada PPBM, PKR, DAP dan Amanah seperti diumumkan Pakatan Harapan selepas Konvensyennya Ahad lalu.

Pakatan itu juga mengumumkan  Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.

“Ini memandangkan jumlah pengagihan kerusi yang dibuat oleh PH hanyalah sebanyak 165 kerusi (dari 222) kerana ia tidak termasuk parlimen-parlimen di Sarawak dan Sabah,” jelasnya dalam kenyataan media.

“Ingin saya tegaskan bahawa tanggungjawab Perdana Menteri bukan hanya untuk Semenanjung Malaysia tetapi untuk seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.

“Saya kira PH sepatutnya mesti berlaku jujur untuk memberi formula pembahagian yang meliputi kesemua 222 kerusi dan bukan hanya untuk 165 kerusi di semenanjung Malaysia, di mana ada lagi 57 kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Tambah Eric, apa yang berlaku ini adalah sama seperti yang terjadi ketika PRU13, di mana Dap akan bertarung sekurang-kurangnya 20 hingga 30 kerusi lagi di Sabah dan Sarawak dan ini tidak termasuk kerusi-kerusi yang juga akan diberi kepada anak didik mereka, PAN yang juga bertanding di Sabah dan Sarawak.

“Biarpun PPBM diberikan kerusi yang mengatasi parti lain di dalam PH, namun harus diingat bahawa PPBM tiada cawangan di Sabah dan Sarawak dan sudah pasti tidak akan bertanding di sana.

“Justeru itu, jumlah kerusi ditanding tidak penting. Yang penting ialah jumlah yang dimenang. Di dalam PRU-13, Pas telah diberikan 99 kerusi yang jauh lebih banyak dari jumlah 51 kerusi yang ditanding oleh Dap.

“Tetapi akhirnya DAP tetap menjadi kuasa terbesar di Pakatan dengan 38 kerusi berbanding hanya 30 yang dimenang oleh Pas daripada 99 kerusi.

“Lebih malang lagi apabila PPBM diberikan kerusi yang paling sukar untuk dimenangi kerana mereka terpaksa berhadapan dengan UMNO dan Pas di kubu-kubu kuat kedua-dua parti tersebut yang mana berkemungkinan besar akan berlakunya pertandingan tiga penjuru,” jelasnya. — Sarawakvoice