Tuesday, June 28, 2022

Mahathir sebagai PM: Pakatan Harapan masih pening, tidak cerdik, kata Pas

Secara Rawak

KOTA BHARU: Keputusan untuk melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad  membuktikan bahawa Pakatan Harapan masih ‘pening’ dan tidak cerdik.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah selama 22 tahun pemimpin Pakatan Harapan berjuang untuk menurunkan Tun Mahathir kerana menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai diktator, tetapi kini mereka mahu mengangkatnya sebagai Perdana Menteri pula.

“Mereka selama 20 tahun ini berlawan nak jatuhkan Dr. Mahathir kerana isu Anwar tiba-tiba angkat dia sebagai calon, maknanya ‘hebatlah’ politik Dr. Mahathir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian watikah Ahli Majlis Pihak Berkuasa tempatan (PTB) Kelantan 2018, di Kelantan Trade Centre Kota Bharu, semalam.

“U-turn, ‘klu-klek’, tidak cerdik, saya kata semua ayat itu boleh guna belaka sebab mereka ini berjuang sejak 1999 lagi nak jatuhkan Dr. Mahathir tiba-tiba dalam masa dua tahun mereka boleh terima dia sebagai Perdana Menteri sementara walaupun kononnya atas kertas sahaja,” katanya.

Ahad lalu Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR, Bersatu dan Amanah sebulat suara bersetuju mencalonkan Pengerusi Pakatan Harapan itu sebagai calon Perdana Menteri jika pakatan itu memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Keputusan itu, bagi penganalisis politik membuktikan bahawa pakatan terbabit adalah terdesak, sekali gus membuktikan ia kemuflisan pemimpin yang lebih berwibawa, muda dan dinamik. — Sarawakvoice

Foto Facebook/Dr Wan Azizah Wan Ismail

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru