Suami PM, isteri TPM?

KETUA Sekretariat Pakatan Harapan (Harapan) Datuk Saifuddin Abdullah melalui perisytiharan “Muafakat Pakatan Harapan” menamakan Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri (PM) dan Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Pelantikan itu berkuat kuasa sekiranya Harapan berjaya menang besar Pilihan Raya Umum Ke-14 yang bakal berlangsung tahun ini.

Pada Konvensyen Harapan di Shah Alam pada Ahad itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar membaca surat restu dari penjara Ketua Umum PKR dari Sungai Buloh:

“Kita percaya keputusan ini telah mengambil kira aspirasi semua parti anggota dan perundingan dengan suara rakyat terbanyak.

“Perkara ini tidak bermaksud kita melupakan perjuangan lebih dua dekad untuk mereformasi institusi kerajaan yang telah begitu lama merosakkan sistem keadilan,” bunyi surat Anwar itu.

Presiden Harapan Wan Azizah tidak dapat menahan sebak selepas dicalonkan sebagai TPM itu.

Bagaimanapun, Wan Azizah dalam kenyataannya menafikan merancang daripada awal untuk menjadi TPM kepada suaminya sendiri, jika selepas ini Anwar Ibrahim menjawat jawatan PM kelak.

“Saya tidak fikir sampai ke tahap itu lagi. Kami hanya mahu berhadapan dengan pilihan raya sekarang ini. Bila tiba kepada situasi itu kita akan fikirkannya,” ujar Wan Azizah.

Bercakap pada sidang media selepas konvensyen gabungan Harapan, Wan Azizah menambah, “bukan rancangan untuk suami dan isteri sebagai Perdana Menteri. Bukan.”

Mengikut perancangan jika Harapan berjaya menewaskan BN pada PRU14, jawatan PM diberikan kepada Dr Mahathir.

Bagaimanapun, jawatan itu kemudiannya akan dikembalikan kepada Anwar Ibrahim apabila Ketua Umum PKR itu dibebaskan dari penjara.

Ketika itu, jika Wan Azizah masih menjadi TPM, maka situasinya menjadikan Malaysia diperintah oleh sepasang suami isteri pada peringkat tertinggi pentadbiran.

Pada konvensyen itu juga, Harapan mengumumkan agihan kerusi Parlimen kepada parti komponen bagi menghadapi PRU14.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diperuntukkan 52 kerusi, PKR 51 kerusi, Parti Tindakan Demokratik Malaysia (DAP) 35 kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) mendapat 27 kerusi. — Sarawakvoice