Tuesday, June 28, 2022

Pakatan Harapan tetapkan 2 penggal sahaja untuk Perdana Menteri

Secara Rawak

SHAH ALAM:  Mungkin menyedari kesan buruk jika seseorang Perdana Menteri terlalu lama berkuasa, Pakatan Harapan semalam bersetuju mengehadkan tempoh memegang jawatan berkenaan kepada dua penggal pilihan raya sahaja.

Langkah itu diambil  bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan memastikan wujud pengasingan kuasa antara badan perundangan, kehakiman dan eksekutif.

Dalam kenyataan yang ditandatangani semua pemimpin parti komponen yang dikeluarkan di sini semalam, tindakan itu bertujuan untuk menyihatkan amalan demokrasi terbaik.

“Kami bersetuju mengehadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal pilihanraya untuk memugar dan menyihatkan amalan demokrasi terbaik serta mempertegas prinsip kebertanggungjawaban dalam urustadbir negara,” kata kenyataan itu yang dibaca  Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.

Cadangan itu pada asalnya dikemukakan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dicalonkan menjadi Perdana Menteri ketujuh sekiranya gabungan itu berjaya menawan Putrajaya.

Tun Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, dari 1981 hingga 2003.

Perkara itu merupakan sebahagian daripada  janji Pakatan Harapan apabila mendapat mandat membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru