Bantuan persekolahan ringankan bebanan ibu bapa

0
4

PEKAN: Langkah kerajaan memberikan bantuan persekolahan kepada golongan kurang berkemampuan yang dihimpit kemiskinan dapat mengurangkan beban yang ditanggung walaupun bagi sesetengah pihak jumlah yang diterima itu adalah kecil.

Bagi seorang penerima dari Kampung Tanah Putih, Maimunah Majid, 34, berpendapat bantuan persekolahan yang diberikan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kepayahan mereka yang duduk di luar bandar sepertinya dalam membiayai persekolahan anak-anak.

“Saya menerima sumba-ngan bagi anak ketiga yang kini darjah enam, selain tiga lagi anak lain turut bersekolah. Suami, Mohd Dzulkeflee Mat Noor, 43, hanya bekerja sebagai tukang rumah dah pendapatan agak terhad dan perlu dibahagikan mengikut kepentingan keperluan.

“Sumbangan seperti bantuan sekolah ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh setiap penerima seperti kami yang terpaksa mengeluarkan belanja lebih bagi persiapan persekolahan anak-anak.

“Ia amat membantu semua penerima di sini dan saya berharap kerajaan akan terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Anaknya merupakan seorang daripada 2,000 murid terpilih dalam Parlimen Pekan yang menerima bantuan persekolahan yang disampaikan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seorang lagi penerima, Woo Ming, 64, Orang Asli dari Kampung Permatang Keledang hadir menerima bantuan persekolahan cucunya, Aziah Razak, 11, turut gembira dengan bantuan yang diberikan itu dan menyifatkannya sangat membantu untuk memastikan cucunya juga dapat pergi ke sekolah dengan pakaian lengkap sama seperti murid lain.

“Saya hanya bekerja kampung dan kini selalu uzur. Anak saya (ibu Aziah) tidak dapat menjaganya kerana sakit mental selepas melahirkan Aziah, ayahnya pula telah menghilangkan diri…jadi tanggungjawab menyediakan keperluan anak ini ditanggung saya,” katanya. — Bernama

Gambar fail