KUCHING: Sebanyak 28 kes gigitan haiwan direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) semalam, di seluruh negeri Sarawak, menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 19 kes berlaku di Kuching, lima di Sri Aman dan masing-masing dua di Samarahan dan Serian.

“Sebanyak 17 kes merupakan gigitan anjing, dengan empat oleh anjing tidak bertuan manakala empat kes oleh kucing, termasuk seekor kucing tidak bertuan.

“Turut dilaporkan menggigit ialah seekor monyet dan seekor arnab.

JKNS memberitahu, sejumlah 5,697 kes serangan haiwan telah direkodkan di seluruh negeri sejak 1 April lalu, dan 2,201 suntikan Vaksin Anti-Rabies telah diberikan.

“Orang ramai diingatkan untuk terus berwaspada dan mengelakkan diri daripada digigit oleh anjing dan kucing.

“Sekiranya digigit, segeralah mengambil langkah pencegahan dengan mencuci luka bahagian yang terkena gigitan dengan menggunakan sabun dan air bersih yang mengalir selama 15 minit sebelum mendapatkan rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan,” katanya. — Sarawakvoice