Friday, October 7, 2022

Sokongan peneroka Felda di Johor tidak terjejas

Secara Rawak

PALOH: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kontroversi melanda FELDA dalam isu pemilikan tanah ditangani dengan berbeza oleh kerajaan negeri ini bagi memastikan para peneroka di Johor mendapat maklumat tepat.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, tumpuan dan pembelaan peneroka di Johor terus diutamakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru.

Pada 21 Disember lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Terdapat 54 kerusi Parlimen terletak di kawasan Felda, dan pengundi terbabit pada amnya menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum sebelum ini.

“Saya boleh mengesahkan mereka memberi tumpuan dan pembelaan sebaiknya kepada warga FELDA di Johor dan khususnya di Sembrong terutamanya untuk pastikan warga FELDA terbela.

“Tetapi, ini tak bermakna kita anggap isu itu remeh, saya harap diselesaikan dengan telus dan mereka yang didapati bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan,“ katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan van sekolah dan replika cek subsidi tambang bas sekolah di Ladang Kekayaan, Paloh di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri termasuk membantu 1,044 daripada 2,285 peneroka di Sembrong menerima geran tanah masing-masing.

“Malah, kerajaan negeri juga mengambil alih pembiayaan dan penyelenggaraan kesemua 65 buah sekolah agama di seluruh FELDA dalam Johor dengan kos RM1.03 juta,” katanya. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru