Saturday, December 3, 2022

Hishammuddin: Jangan spekulasi isu tanah Felda di ibu kota

Secara Rawak

KLUANG: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta supaya isu Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di Kuala Lumpur tidak dispekulasikan  sebaliknya meminta semua pihak  menunggu sehingga perkara itu selesai disiasat pihak berkuasa.

“Kita tidak mahu ada pihak dihukum awal sama ada menerusi media atau media sosial,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan van sekolah dan replika cek subsidi tambang bas pelajar Ladang Landak, Paloh di sini, semalam.

Pihak polis telah menyoal siasat bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad selama lima jam  pada Jumaat.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas  berkata beliau melihat masyarakat Felda memahami agenda pembangunan yang dilakukan kerajaan untuk terus memastikan nasib mereka terbela.

Menurut Anggota Parlimen Sembrong itu,  di Johor, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga amat komited membantu masyarakat Felda termasuk enam kawasan Felda di bawah Parlimen Sembrong.

Pada 21 Dis lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Datuk Seri Najib Razak pada Khamis mengumumkan sebuah firma audit luar telah dilantik oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk melaksanakan audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang sedang dibangunkan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) atas tanah milik Felda.

Perdana Menteri berkata firma audit ini akan menjalankan audit forensik ke atas semua aktiviti, keputusan dan tindakan berkaitan projek berkenaan. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru