Game Plan Tun Mahathir dan kisah dongeng anjing terlepas tulang

Dalam dongeng cerita rakyat Melayu, terdapat cerita anjing yang bercermin di air sehingga tulang yang digonggongnya dilepaskan. Mesej cerita itu amat mudah, sifat tamak akan menyebabkan kita rugi.

Elok benar rasanya cerita-cerita dongeng rakyat diperdengarkan kembali supaya kita semua dapat mengambil iktibar daripadanya.

Jika dilihat kepada tindak-tanduk Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum dan selepas beliau meninggalkan UMNO pada 28 Januari 2016 sehingga sekarang, nampaknya Tun Mahathir seakan-akan sedang melalui fasa seperti dalam cerita dongeng rakyat yang mengisahkan anjing terlepas tulang setelah bercermin di air.

Dunia tahu bahawa hasrat Tun Mahathir adalah untuk memastikan anakanda beliau iaitu Datuk Seri Mukhriz berjaya menaiki takhta politik. Namun, kerana anakanda beliau sebenarnya tidak begitu berkebolehan, pendakian tangga politik Mukhriz diselubungi oleh kegagalan.

Mukhriz tewas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO, dan tidak lama selepas itu gagal pula dalam pertandingan Naib Presiden UMNO.

Pemimpin UMNO tidak membuang Mukhriz begitu sahaja, jawatan Menteri Besar Negeri Kedah diberikan kepada beliau.

Tetapi buat Tun Mahathir, jawatan sebagai Menteri Besar tidak akan membawa anakanda kesayangannya ke mana-mana. Sebelum mata beliau terpejam buat selamanya, takhta politik yang lebih baik perlu disediakan untuk anakanda kesayangan.

Jadi apa pilhan dan game plan yang ada? Pakatan Harapan  yang sedang dilanda krisis berikutan pergelutan antara DAP dan PAS dilihat oleh Tun Mahathir sebagai peluang terbaik untuk menjayakan game plan politik beliau.

Foto Facebook/Dr. Mahathir bin Mohamad

Beliau menyangka tetap kekal hebat dan begitu popular sehingga boleh diterima oleh barisan kepemimpinan pembangkang. Begitu yakin yang game plan beliau diterima dan  dengan bangganya  Tun Mahathir dengan bangga mengumumkan dirinya sebagai ‘top dog’ kepada Pakatan Harapan, mengetepikan peranan yang dimainkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini.

Dan pada 6 Disember 2017, Tun Mahathir mendakwa beliau diterima sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan sekiranya gabungan parti pembangkang itu menang dalam PRU-14. Tun Mahathir telah membayangkan selaku Perdana Menteri, beliau akan membuat reformasi badan kehakiman, mengurangkan korupsi dan memperluaskan kebebasan bersuara sekiranya Pakatan Harapan menang selepas PRU-14.

Mungkin juga Tun Mahathir membayangkan laluan politik bagi anakandanya akan lebih mudah jika beliau diberi peluang kali kedua menjadi Perdana Menteri, kali ini bersama Pakatan Harapan. Namun begitu, angan tersebut tidak kekal lama.

Cadangan Tun Mahathir untuk merubah badan kehakiman dan mewujudkan lebih banyak kebebasan  bersuara dicurigai oleh banyak pihak, termasuklah Anwar Ibrahim yang secara tiba-tiba mengeluarkan pandangan supaya kepemimpinan pembangkang berunding dengan NGO untuk menentukan siapa bakal calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan tidak kurang dengan pemimpin muda seperti Azmin Ali, Lim Guan Eng, Nurul Izzah dan lain-lain. Pemimpin sayap parti, khususnya daripada PKR tanpa segan silu menolak keputusan Tun M dilantik sebagai calon Perdana Menteri.

Sebagai orang yang telah lama berpolitik, Tun Mahathir sudah semesti mengetahui bahawa kepemimpinan beliau selaku ‘the de facto top dog’ kepada Pakatan Harapan bukan sekadar dicurigai tetapi sedang dicabar secara terbuka.

Selain, polemik tanpa henti mengenai calon Perdana Menteri, portal berita yang pro-Pakatan Harapan sehari dua ini tanpa segan silu memaparkan senario kemungkinan yang Tun Mahathir meninggalkan Pakatan Harapan dan kembali kepada BN sekiranya anakanda beliau diberi jawatan sebagai TPM II dalam BN.

Dalam politik, semua kemungkinan boleh berlaku. Tun Mahathir ialah manusia pragmatik dan serba mungkin. Persoalannya, apakah keuntungan yang diperoleh oleh BN dengan membeli  game plan Tun M?  

Kepada BN, game plan Tun Mahathir sudah tidak lagi menarik. BN tidak rugi apa-apa sekiranya mereka menolak tawaran game plan Tun Mahathir kali ini.

Lagipun, jika sekadar untuk menarik lebih banyak undi, Nurul Izzah Anwar rasanya jauh lebih menguntungkan jika dibandingkan dengan Mukhriz.

Pepatah Melayu ada menyebut bahawa ada masanya kita perlu mencerminkan diri sendiri. Tetapi jangan pula mengambil sikap anjing yang bercemin di air sehingga terlepas tulang yang digonggong. — Sarawakvoice