Ekonomi M’sia kukuh 2018: Nilai RM, rizab BNM meneguh, eksport minyak, dagangan melonjak

PERMULAAN Januari yang baik untuk tahun baru 2018 bagi Malaysia.

Sementara, perayaan Tahun Baru Cina 2018 kali ini menyaksikan Tahun Anjing Bumi menjanjikan sukses bagi yang memiliki kemurahan hati, disiplin dan kejujuran tinggi.

Jumaat lepas, kita menyaksikan nilai RM ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh 17 bulan apabila mencecah 3.9950/0000 berbanding AS$1.

Nilai RM jatuh teruk sehingga mencapai kadar tukaran hampir RM4.5 berbanding AS$1 pada Disember 2016, dikaitkan dengan spekulasi mata wang.

Kini ekonomi neara didorong kenaikan harga minyak mentah global yang dikatakan mampu mencecah sehingga AS$70 (RM280) setong tahun ini.

Ya, ekonomi Malaysia menuju “pembaikan” ketika ia bergerak pada landasan yang betul.

Selain RM yang meneguh, dagangan Malaysia terus menokok positif lebih RM157 bilion dengan Rizab Antarabangsa BNM mencatat lebih AS$100 bilion.

Pada masa yang sama harga minyak global yang dijangka melonjak sehingga AS$70 setong menstabilkan pendapatan negara yang turut bergantung kepada eksport minyak global.

Sebelum ini harga minyak global ditekan jatuh sehingga ke paras AS$30 setong daripada harga tertingginya AS$110 setong.

Ringgit Meneguh Atasi Mata Wang Asean Lain

Keyakinan ke atas prestasi ekonomi negara turut disokong oleh data ekonomi memberangsangkan yang dikeluarkan di AS, Eropah dan China.

Sementara, di samping aliran masuk dana asing besar-besaran ke dalam pasaran ekuiti domestik turut menyokong keyakinan baharu ke atas ekonomi negara.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew mengaku pasaran menyaksikan aliran masuk dana asing selepas Bank Negara Malaysia (BNM) memberi petunjuk ke arah kenaikan kadar faedah semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari November lepas.

Peningkatan RM kini dikatakan mengatasi mata wang lain termasuk bhat Thailand dan diyakini RM berpotensi untuk terus meningkat.

Dagangan Malaysia Terus Menokok Positif

Dari segi dagangan Jumlah dagangan Malaysia menokok 14.8 peratus kepada RM157.05 bilion pada November lepas berbanding tempoh sama 2016.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan berkata, penyumbang utama pertumbuhan itu adalah perdagangan dengan Asean, China, Amerika Syarikat, Hong Kong (Wilayah Pentadbiran Khas), Korea Selatan, Jepun, Kesatuan Eropah dan Taiwan.

Untuk tempoh tersebut eksport berkembang 14.4 peratus kepada RM83.5 bilion, nilai eksport bulanan tertinggi pernah dicatatkan selepas RM82.62 bilion yang direkod pada Mac 2017.

Manakala import menokok 15.2 peratus kepada RM73.55 bilion.

Lebihan dagangan bernilai RM9.95 bilion yang merupakan bulan ke-241 berturut-turut sejak November 1997.

Menurut MITI, jumlah perdagangan bagi 11 bulan pertama 2017 berjumlah RM1.622 trilion, meningkat 20.8 peratus berbanding tempoh sama 2016.

Eksport pula berkembang 20.4 peratus kepada RM856.05 bilion, manakala import mencatat pertumbuhan 21.2 peratus kepada RM766.07 bilion.

Lebihan dagangan negara ialah RM89.98 bilion, menokok 13.6 peratus berbanding tempoh sama  2016.

Eksport barangan perkilangan pada November 2017 turut meningkat selain dagangan dengan Asean berkembang 21.9 peratus.

Eksport turut meningkat 18.3 peratus kepada RM24.72 bilion.

Rizab Antarabangsa BNM Lebih AS$100 Bilion

Rizab antarabangsa BNM sehingga akhir Disember 2017 ialah AS$102.4 bilion berbanding AS$94.5 bilion, akhir 2016.

Menurut BNM paras rizab berkenaan memadai membiayai 7.2 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Menurut BNM komponen utama rizab antarabangsa itu merangkumi rizab mata wang asing (AS$96.0 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (AS$0.8 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.2 bilion), emas (AS$1.5 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.9 bilion).

Aset terdiri daripada emas dan tukaran asing serta rizab lain termasuk SDR (RM414.60 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM4.23 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM8.91 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.59 bilion), tanah dan bangunan (RM4.18 bilion), dan aset lain (RM10.29 bilion).

Minyak Global Cecah AS$70 Setong 2018

Pakar Ekonomi Penyelidikan dan Strategi Perbendaharaan OCBC, Barnabas Gan meramalkan harga minyak dunia mencecah kepada hampir AS$70 setong 2018.

Harga minyak dunia sepanjang 2017 berkisar antara AS$55 hingga AS$60 setong.

Meskipun kenaikan berkenaan agak rapuh, strategi OPEC yang dilanjutkan sembilan lagi mengehadkan bekalan demi menstabilkan kenaikan harga membuahkan hasil dan membantu perkembangan positif ini untuk jangka panjang.

AS juga dipercayai mengambil langkah drastik menstabilkan harga jika harga terlalu melonjak tinggi dengan menambah pengeluaran stok minyaknya.

Sebelum ini, global menyaksikan kejatuhan harga minyak merudum mendadak daripada AS$110 (RM443) kepada hanya AS$30 (RM121) setong.

Hutang Negara Terkawal

Sementara, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak menegaskan pada akhir Jun 2017, hutang Kerajaan Persekutuan 50.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), angka yang masih di bawah paras had yang ditetapkan Kerajaan iaitu 55 peratus daripada KDNK.

Menurut Najib hutang Kerajaan masih kekal terurus, malah semakin berkurang 53.2 peratus pada akhir Jun 2016.

Bahkan, nisbah hutang Kerajaan berbanding KDNK Malaysia lebih baik berbanding Singapura pada paras 112 peratus, United Kingdom 89.3 peratus serta Kanada pada paras 92.3 peratus.

Najib berkata negara tidak terdedah kepada muflis ketika banyak negara luar sedia melabur dan merangka perjanjian perdagangan dengan Malaysia.

KDNK Malaysia Diramal 5 peratus

Sementara, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangkakan berada pada paras 5.0 peratus tahun ini dengan asas pertumbuhan kukuh hasil fundamental dunia yang kukuh, selain harga minyak yang tinggi.

Menurut laporan Dunia OCBC Bank 2018, pertumbuhan ekonomi dunia dijangka terus disokong oleh penggunaan swasta, perbelanjaan pelaburan serta perdagangan.

Eknomi Malaysia Sememangnya Berdaya Saing

Justeru, melalui unjuran ekonomi yang berlaku, Forum Ekonomi Dunia di Geneva yang menilai daya saing 138 negara dan indeks daya saing global, menyenaraikan Malaysia berada pada tangga ke-25 berdaya saing bagi tempoh 2016-2017 meskipun jatuh beberapa anak tangga.

Malaysia mengatasi Thailand (pada tangga 34), Indonesia (41), Filipina (57), Brunei (58), dan Vietnam (60).

Sementara, Moody’s Investors Service (Moody’s) turut mengesahkan penarafan penerbit mata wang asing dan tempatan serta bon tidak bercagar senior Kerajaan Malaysia pada A3 dengan prospek stabil.

Moody’s berkata pemacu utama yang menyokong penarafan A3 dan prospek stabil itu adalah jangkaan beban hutang kerajaan walaupun tinggi, selain prospek pertumbuhan kukuh dan berdaya tahan Malaysia.

Moody’s berkata Malaysia mempunyai prospek pertumbuhan kukuh dan berdaya tahan dengan struktur ekonomi yang kompetitif dan amat pelbagai.  — Sarawakvoice