Friday, August 12, 2022

BN, Umno tidak bodoh, kata Annuar

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, selaku kerajaan yang bertanggungjawab Barisan Nasional  (BN) dan UMNO tidak bodoh untuk melakukan perkara yang membuatkan rakyat benci kepadanya meskipun ia juga mempunyai kelemahan.

Menurutnya, walaupun BN dan UMNO ada kecacatan, tetapi kecacatan dan kelemahan itu sentiasa diperbaiki.

“Saya akui ada cacat. Kita bukan kerajaan malaikat tetapi berbanding dengan zaman Tun Mahathir atau zaman lain atau cara di bawah DAP, Datuk Seri Najib lebih terbuka,:” katanya seperti dipetik portal Umno.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Retreat PRU-14 UMNO Bahagian Taiping.

“Beliau boleh menerima teguran berbanding DAP dan Tun Mahathir yang mengamalkan ‘one man show’. Datuk Seri Najib sentiasa kolektif dan ini adalah jaminan untuk rakyat ke arah yang lebih baik,” ujar beliau merujuk kepada Pengerusi Pakatan Harapan.

Justeru,  ujarnya, demi memastikan rakyat terus memberi mandat kepada BN dan UMNO, semua jentera perlu bersedia kerana sudah pasti pembangkang akan menyebarkan berita palsu atau setengah masak dengan lebih agresif demi mengelirukan rakyat.

“Masa kini terlalu banyak berita palsu yang disebarkan,” akuinya.

“Di Perancis, Perdana Menterinya membuat satu ikrar untuk mengharamkan semua berita palsu untuk menyelamatkan demokrasi. Ertinya, demokrasi boleh rosak jika rakyat membuat keputusan berdasarkan berita yang salah”, katanya.

Justeru beliau mengajak semua jentera UMNO dan BN  membina ketahanan parti ini dalam kalangan pengundi kerana biasanya berita palsu ini di bawa oleh pembangkang.

“Kita kerajaan bawa berita yang benar kerana kita sedang bertangungjawab. Orang yang nak jatuhkan kerajaan bawa berita separuh masak dan tidak benar.

“Jadi, perkara ini harus dikekang. Saya yakin dan percaya rakyat akan terus memperbaharui mandat ini dengan memberi kepercayaan kepada kita,” terang beliau.

Ujarnya, PRU-14 ini bukan sahaja untuk UMNO menang tetapi  mahu parti tertentu kalah dengan teruk sebab lagi banyak parti kecil-kecil ini wujud, ia tidak memberi untung kepada orang Melayu dan orang Melayu sepatutnya berasa tercabar kerana kaum lain lebih pandai bersatu.

“Jadi, kita harus ambil iktibar dan satu jalan selamat sahaja bagi kita adalah orang Melayu mesti bersatu,’ katanya sambil menegaskan pentingnya ahli merapatkan saf dan perkemaskan jentera seolah-olah kita akan menghadapi pilihan raya esok.

Pilihan raya umum ke-14 dijangka diadakan pada Mac ini. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru