Tuesday, January 25, 2022

Abang Johari komited mahu bantu sekolah mubaligh di Sarawak

Secara Rawak

BETONG: Ketua Menteri Sarawak yang sentiasa meletakkan bidang pendidikan sebagai keutamaan sejak menerajui Sarawak 13 Januari tahun lalu, ingin memastikan bahawa  kemudahan sekolah di negeri ini, termasuk sekolah mubaligh terus diberi perhatian.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan Tiga Tahun Sekali Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 5 di Dewan Suarah di sini semalam, mengulangi komitmennya untuk membantu sekolah mubaligh.

Media melaporkan sebelum ini sebanyak RM80 juta peruntukan daripada kerajaan persekutuan telah disalurkan kepada sekolah mubaligh di Sarawak dari 2010 hingga 2015.

Sekolah mubaligh dengan ada daripadanya dibina lebih 100 tahun lalu telah banyak memberi sumbangan dari segi melahirkan modal insan di negeri ini.

“Kita tak ada masalah untuk menyalurkan peruntukan bagi membangunkan sekolah mubaligh. Beritahu berapa peruntukan yang diperlukan. Kita akan bantu,” tegasnya sambil menyatakan bahawa kerajaan akan menggunakan RM1 bilion untuk memperbaiki dan membina semula hampir 1,000 sekolah daif di negeri ini.

“Saya sudah beritahu PM bahawa saya akan baik pulih semua sekolah berkenaan menggunakan duit kita sendiri dulu, tetapi kerajaan persekutuan perlu bayar balik,” jelasnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk tujuan tersebut dalam Bajet 2018 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober lalu. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru