Tuesday, September 27, 2022

PRU-14 gelanggang terbuka mana-mana parti politik meraih kemenangan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: ‘Pertempuran’ politik melampau sehingga melanggar batas susila di pihak pemimpin pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan melebarkan lagi jurang perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam.

“Pertempuran politik melampau sehingga melanggar batas susila dan rukun perpaduan amat membimbangkan dan dalam situasi politik yang sihat, ianya tidak sepatutnya berlaku,” tegas Ketua Umno Bahagian Cheras dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.my.

Menurut Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, sikap gelojoh sesetengah pemimpin politik Melayu daripada blok pembangkang menyerang peribadi pemimpin tertentu dengan melabelkan ungkapan kesat dan kasar amat dikesali.

“Mereka tergamak jadi petualang kerana kemaruk dan gilakan kuasa sehingga melanggar batas kesopanan,” bidasnya.

Perbuatan itu ujar Syed Ali, hanya akan melebarkan lagi perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang sememangnya sudah berpecah kepada beberapa kelompok.

“Secara jujurnya, kita kena melihat kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam, ke mana kita selepas ini?

Oleh sebab itu tegasnya, jika ada kumpulan politik berteraskan Melayu ingin bersatu atau menjalinkan kerjasama, tidak sepatutnya dihalang sambil menyifatkan mereka yang sengaja menghalang penyatuan orang Melayu sebagai petualang kepada kepentingan masa depan bangsa mereka sendiri.

Selain itu kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, ada pihak tanpa segan silu menuduh individu tertentu sebagai kafir hanya disebabkan pertarungan politik untuk berebut kuasa.

“Mengapa ini hanya terjadi di kalangan masyarakat Melayu,?” tanya beliau sambil menegaskan pergeseran pegangan agama amat berbahaya.

Akibatnya kata beliau, pihak berkepentingan termasuk musuh Islam yang akan mengaut keuntungan jika pergeseran sesama orang Melayu berterusan berlaku.

Beliau juga kesal kerana ada sesetengah pihak sanggup mempergunakan agama untuk menghalalkan tuduhan mereka kepada pihak yang lain.

“Ada yang kata pemimpin itu kafir, pemimpin itu tidak Islamik, ini semua tuduhan melampau dan amat tercela sifatnya.

“Memang, pertarungan politik adakalanya menjadi terkeji, tetapi seboleh-bolehnya tidak harus terkeluar daripada sifat pemimpin yang penuh berhemah dan bermoral.

Sebaliknya ujar beliau, politik juga boleh menjadi alat untuk membentuk tamadun manusia berakhlak mulia.

Syed Ali seterusnya mengingatkan, PRU -14 merupakan gelanggang terbuka kepada mana-mana parti politik meraih kemenangan sepertimana dibenarkan oleh perlembagaan dan amalan demokrasi di negara ini. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru