Friday, August 19, 2022

Polis siasat laporan ancam bunuh anggota JPV terlibat tangkap anjing liar di FB

Secara Rawak

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat laporan yang dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak terhadap catatan pemilik akaun Facebook berkaitan anjing liar yang dipercayai mengandungi beberapa komen berunsur jenayah.

Menurut Ketua JSJ Sarawak Dev Kumar, pemilik akaun Facebook itu mencadangkan agar membunuh anggota JPV yang terlibat dalam operasi menangkap anjing liar.

Sementara, turut terdapat komen lain menyarankan agar membuat sekatan jalan bagi melepaskan anjing liar yang ditahan dan cubaan menghalang operasi tersebut secara ekstrem.

Dalam kenyataan beliau seperti dilaporkan Bernama, Dev berkata pihak polis tidak gentar dengan ancaman terhadap petugas yang menjalankan amanah serta tugas mengikut lunas undang-undang.

Menurut Dev, polis menyiasat laporan berkenaan yang disifatkan sebagai jenayah ugutan dan pemilik akaun tersebut sedia dipanggil untuk siasatan.

Pemilik akaun media sosial itu dilihat cenderung menghasut keganasan dalam kalangan netizennya.

Dev mengingatkan pihak berkaitan bahawa sebarang cubaan menggunakan kekerasan, termasuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas, boleh didakwa di mahkamah.

Isu rabies atau penyakit anjing gila yang dipercayai bawaan anjing termasuk anjing liar di Sarawak masih menjadi isu keselamatan dan kesihatan yang terus dipantau oleh pihak berwewenang di negeri ini.  — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru