Thursday, June 30, 2022

Lagi rompak kedai emas RM1 juta, selepas rompakan malam tahun baru dan Kajang

Secara Rawak

SEREMBAN: Lagi kedai emas dirompak, merupakan kejadian ketiga pada awal tahun baru 2018.

Polis memburu enam perompak bersenjata melarikan sembilan dulang barang kemas bernilai sekitar RM1 juta.

Dalam kejadian 8.43 malam itu, empat suspek memasuki pusat beli-belah merompak kedai emas di pusat beli-belah di Kemayan Square pada Khamis malam.

Sementara, dua lagi suspek menunggu di hadapan pintu masuk pusat berkenaan bersama tiga motosikal.

Memetik Bernama, menurut Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Thiew Hock Poh, salah seorang perompak mengacu senjata ke arah pegawal keselamatan, manakala tiga rakan lainnya memecah cermin dengan tukul besi, mengambil masa seminit sebelum bolos.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sementara, pada kejadian rompakan kedai emas di Persiaran Bangi Avenue, Taman Bangi Avenue, Kajang pada Rabu, tiga perompak mengambil masa dua minit melarikan tiga dulang barang kemas bernilai sekitar RM370,000.

Dalam kejadian 11.22 pagi itu, kesemua suspek memakai topi keledar memasuki premis berkenaan sebelum memecah cermin pameran dengan tukul besi dan melarikan emas jenis 916.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, suspek melarikan diri menaiki dua motosikal jenis Yamaha 125z dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Manakala, pada kejadian malam menjelang tahun baru 2018, sekumpulan 10 lelaki merompak kedai emas di pusat beli-belah di Taman Segar, Cheras mengambil masa tiga minit sebelum melarikan barang kemas bernilai lebih RM1.5 juta.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Ismadi Borhan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu kesemua suspek memakai topi keledar bertutup penuh serta bersarung tangan. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru