WASHINGTON: Menyambut tahun baru 2018, pemimpin kontroversi Korea Utara Kim Jong-un menempelak Amerika Syarikat (AS) melalui perutusannya berkata, “awas, hanya satu butang diperlukan untuk melancarkan peluru berpandu ke AS.”

Terasa seperti dihina oleh Jong-un, Presiden AS Donald Trump menyambut tempelakan itu dengan gertakan bahawa “tombol nuklearnya lebih besar dan lebih kuat berbanding butang nuklear Korea Utara itu”.

Trump berkata tidak wajar “seseorang” dari rejim yang “kelaparan” dan tandus makanan memberitahunya tentang tombol nuklear seperti itu.

“Saya juga punya tombol nuklear, tapi lebih besar dan lebih kuat daripada miliknya, dan tombol saya berfungsi!” gertak Trump di Twitter.

Gertak balas Trump melalui Twitter ke atas tempelakan Jong-un, dikomen tajam rata-rata warganet.

Dua tokoh dunia dianggap kontroversi ini dicop egoistik sehingga sanggup mengorbankan puluhan juta jiwa manusia di dunia ini dengan “gertakan gila” mereka.

Wartawan CBS News sinis mengulas isu ini dengan berkata di meja Trump hanya terdapat tombol yang dapat memesan minuman ringan ke pejabatnya!

Jong Un sempena ucapan tahun baru 2018 memperingatkan AS bahawa negara tersebut kini berada dalam lingkungan sasaran dan capaian senjata nuklear Pyongyang.

Beliau mengingatkan di televisyen Korea Utara bahawa butang untuk melancarkan peluru berpandu sentiasa berada pada hujung jarinya.

Jong Un menganggap AS tidak lagi sedia melancarkan perang kerana kini kemampuan Pyongyang-Washington adalah seri.

Korea Utara menjalankan enam ujian peluru berpandu balistik sepanjang 2017 menegangkan Semenanjung Korea. — Sarawakvoice