KUCHING: Perang terhadap wabak Rabies bermula semalam dengan pasukan petugas khas Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan mula bertegas menangkap anjing-anjing liar di kawasan berisiko.

Ketua Kesihatan Awam kementerian tersebut, Dr Cheong Yaw Liang memberitahu, 28 ekor anjing liar berjaya ditangkap semalam, dengan 10 daripadanya di Taman Heng Guan, Matang.

“Operasi selama lima hari ini akan berterusan di beberapa lokasi, dengan MJC akan menjadi destinasi seterusnya selepas Matang.

“Kita berharap orang ramai terutamanya pencinta haiwan memberikan kerjasama sepenuhnya kerana tindakan ini dilakukan atas faktor nyawa manusia.

“Ia lebih penting,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Operasi ini katanya lagi, memberi tumpuan kepada kawasan berisiko di Kuching, Samarahan dan Bau, yang melibatkan 60 anggota yang mewakili Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Majlis Perbandaran Padawan dan Majlis Daerah Lundu. Turut hadir Pengarah Jabatan Veterinar Sarawak, Dr. Adrian Susin Ambud.

“Kami dapati masih terdapat begitu banyak anjing terbiar yang berkeliaran di sini, dan ia dibimbangi boleh menyebarkan wabak Rabies.

“Anjing-anjing yang ditangkap sekiranya tidak dituntut pemilik mungkin akan dihapuskan,” katanya lagi.

Pada Selasa, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Jamilah Hashim memberitahu, berlaku peningkatan serangan anjing berisiko di kawasan Kuching dalam tempoh terdekat.

“Kes gigitan anjing di Kuching sehingga Selasa lalu dilaporkan sebanyak 2,424 kes,  berbanding 2,233 kes di Serian.

“Anjing-anjing yang menggigit ini menunjukkan simptom Rabies, selain menggigit bahagian atas badan, termasuk muka biarpun tanpa diganggu atau dicabar.

“Ia amat berbahaya kerana dekat dengan otak,” katanya.

Selain memburu anjing liar, strategi perang wabak ini turut melibatkan sekatan jalan raya dari Sarikei ke Sibu, berikutan penularan wabak tersebut di Julau minggu lalu. – Sarawakvoice