Tuesday, May 11, 2021

Usaha terbaru, Knesset Israel sengaja luluskan undang-undang ikat Baitulmaqdis Timur

Mesti baca

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis atau Jerusalem sebagai ibu kota Israel pada 6 Disember 2017.

Kemudian pengundian kuasa veto AS di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 18 Disember dilihat lebih meneguhkan cita-cita rejim zionis itu.

Apabila Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) membantah pengumuman Trump itu sekali gus mengisytiharkan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin merdeka, Israel segera memperlekehnya.

Israel lupa tekanan OIC berjaya membawa isu tersebut untuk didengar pada sidang khusus Majlis Umum PBB (UNGA) 21 Disember.

Pada sidang tersebut akhirnya menyaksikan dua pertiga negara anggota dengan 128 negara menyokong resolusi menafikan pengisytiharan Trump itu.

Daripada 193 negara anggota Majlis Umum PBB, 35 negara mengambil pendekatan berkecuali, 21 tidak hadir dan hanya tujuh negara sekutu menyokong rejim Israel dan AS.

Di atas kertas, semenjak dikutuk dunia antarabangsa kerana AS dan Israel melanggar resolusi PBB sekian lama, bahawa status Baitulmaqdis haruslah tidak dapat diputuskan secara unilateral, tindak-tanduk Israel dan AS ini sudah dikira kalah.

Masyarakat antarabangsa tidak mengakui kedaulatan Israel atas seluruh kota tersebut, yang merupakan tempat suci bagi umat Islam, Yahudi dan Kristian.

Resolusi PBB Nombor 478, 1980 mengecam tuntutan sepihak Israel ke atas Baitulmaqdis sebagai ibu kota serta melarang negara lain untuk mengalih kedutaan di situ.

Semenjak ditentang 14 negara dalam pengundian pada sidang tergempar Majlis Keselamatan PBB sehingga AS terpaksa menggunakan kuasa veto “memberi muka” kepada rejim Israel, sekali lagi AS dan Israel dikira kalah.

Sengaja Perlekehkan Majlis Keselamatan, Majlis Umum PBB dan OIC

Begitu juga dengan keputusan OIC dan Majlis Umum PBB meskipun suara majoriti mengikut hukum demokrasi ditegakkan, AS dan Israel tidak pernah peduli.

Malah AS dan Israel menganggap PBB hanya dianggotai ahli yang “absurd”, “kelab sosial” dan “rumah penipuan”.

AS dan Israel percayakan demokrasi tetapi dalam semua tindakan, mereka selalu dilihat membelakangkan suara majoriti.

Bagi Israel dan AS, seolah-olah “pergi jahanam” dan “persetankan” suara banyak dunia dengan mereka selalu mencari jalan keluar menghalalkan hasrat sumbang mereka.

Bertindak balas seperti “perangai”nya yang lalu, bersikap polis dunia, AS mengungkit semua bantuan yang diberikannya kepada negara luar umpama “menggigit tangan yang menyuapnya makanan”.

AS berkata tiada dolar untuk pembantah dan pembangkang dasarnya yang cuba dipaksa ke atas negara yang dikira mahu dicucuknya hidung.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan bertindak balas menempelak, “Trump, anda tidak dapat membeli kehendak demokrasi Turki dengan dolar anda. Dolar dapat kembali, tapi kemahuanmu tidak pernah terjual.”

Israel tidak pernah tunduk pada kemahuan suara terbanyak dunia.

Bahkan, terbaru Parlimen Israel meluluskan undang-undang yang dapat menyukarkan pelepasan Baitulmaqdis Timur kepada negara asing di bawah kesepakatan damai apapun pada masa akan datang.

Sengaja Cipta Undang-Undang di Knesset Tidak Mahu Lepaskan Batiulmaqdis Timur

Undang-undang yang diluluskan Knesset pada sidang larut malam Selasa itu mewajibkan dua pertiga suara majoriti badan legislatif tersebut dengan disokong 64 suara berbanding 51 dan satu suara berkecuali.

Undang-undang itu direka agar Baitulmaqdis Timur semakin sukar untuk dipulangkan kepada Palestin.

Para Zionis mahu kota suci tiga agama itu tidak dapat dibahagikan-bahagikan, ketika warga Palestin mahu menjadikan ibu negara pada masa depan.

Pada masa yang sama negara Arab dan negara Islam menuntut Baitulmaqdis Timur yang mengandungi Masjidil Aqsa sebagai tapak suci Islam.

Justeru, bagi membatalkan undang-undang tersebut dalam lingkungan negara Israel, ia memerlukan undian 80 daripada 120 anggota  Knesset. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru