Friday, August 19, 2022

Mesyuarat Majlis Tertinggi BN malam ini mulakan paluan gendang perang PRU14

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kemungkinan Pilihan Raya Umum akan diadakan lebih awal daripada Mac depan, akan terjawab pada malam ini, apabila Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn “A”, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

“Secara prinsipnya, kebanyakan ketua-ketua parti komponen sudah tahu bila ‘gendang perang’  akan dipalu.

“Cuma ketika ini adalah untuk menilai situasi semasa dan perkembangan terkini.

“Selain menganalisis kekuatan pembangkang, Majlis Tertinggi juga akan menilai kelebihan BN sendiri dalam menjuarai rakyat,” kata sumber BN yang boleh dipercayai.

Menurutnya, tentunya pada malam ini segala persiapan akan dibentangkan, terutamanya senarai calon “mesti menang”, bukan lagi “boleh menang” yang akan diketengahkan.

“Begitu juga isu-isu rakyat yang belum diselesaikan, akan dilunaskan sebelum tarikh keramat kelak.

BN dijangkakan mengemukakan lebih satu pertiga muka baharu, berdasarkan perkembangan semasa.

“Sehubungan itu, segala pertikaian yang mungkin wujud baik dalam kalangan parti komponen, dan penyokong BN, mahupun sesama ahli parti perlu diselesaikan segera.

“Jentera parti turut dijangka diperkemaskan, bagi memastikan operasi pilihan raya berjalan lancar.

Sebelum mesyuarat berlangsung, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Mohd Najib Razak dijangka akan melancarkan Portal “TheRakyat ke arah PRU-14”.

Mesyuarat yang bermula jam 9 malam dijangka berlangsung selama sejam, sebelum diakhiri dengan sidang media.

Hampir semua ketua parti komponen BN dan wakil telah mengesahkan kehadiran, kata sumber itu lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru