KUCHING: Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebentar tadi mengisytiharkan “Perang Terhadap Wabak Rabies” setelah mendapati berlakunya kes pertama di wilayah tengah Sarawak iaitu di daerah Julau, Sarikei pada 29 Disember lalu.

“Berlaku juga peningkatan kes anjing yang disahkan positif Rabies, anjing yang menunjukkan tanda penyakit Rabies dan bilangan mangsa gigitan anjing di Bahagian Kuching khususnya di kawasan Matang, Batu Kawa hingga ke Bau.

“Justeru kita mengisytiharkan ‘perang’ untuk menghadapi ancaman ini lebih serius,” katanya lagi.

Antara langlah yang kini dilaksanakan termasuklah mewujudkan zon penampan baharu dari Sarikei ke Sibu dan ke bawah, dengan mengekang terus setiap pergerakan anjing dan kucing.

“Sekatan jalan raya akan diadakan di kawasan yang menghubungkan bandar Sibu iaitu di dua laluan jambatan Jambatan Bintangor di Paradom dan Jambatan Durin.

“Sekatan ini bagi melarang membawa keluar haiwan peliharaan yang dikhuatiri dijangkiti wabak,” ujar beliau.

Operasi secara besar-besaran juga katanya, akan dilakukan untuk menangkap anjing liar yang berkeliaran, bermula esok oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, bersama-sama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Polis Diraja Malaysia.

Uggah menambah,  orang awam dinasihatkan untuk tidak membiarkan anjing-anjing serta kucing peliharaan mereka berkeliaran atau dilepaskan di luar rumah.

“Jikalau haiwan ini ditemui di luar rumah, kami tidak teragak-agak untuk menangkapnya dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas sesiapa sahaja yang menghalang operasi ini, seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang,” tegasnya.

Berkait dengan kes di Julau katanya, kawasan sempadan negara kini diperketat manakala pemeriksaan dan vaksinasi dari pintu ke pintu di kawasan itu telah dimulakan.

“Malah kita akan pergi ke ladang-ladang di sekitar kawasan sasaran ini, kerana kita menjangka ia menjadi punca berlakunya penerobosan wabak ini ke kawasan Julau.

Sehingga semalam, sejumlah 42,233 ekor haiwan telah divaksin termasuk 34,202 ekor anjing dan 7,979 ekor kucing.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Jamilah Hashim memberitahu, sebanyak enam kes Rabies terhadap manusia telah direkodkan di negeri ini, dengan seorang mangsa masih dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak, Hospital Umum Sarawak.

“Sejumlah 5,652 kes gigitan anjing telah dilaporkan kepada pihak kita, dengan 2,143 vaksinasi telah diberikan, setelah mangsa menjalani pemeriksaan doktor.

“Kes gigitan anjing di Kuching kini dilaporkan meningkat kepada 2,424 kes, meningkat hari ke hari (termasuk 37 kes semalam), berbanding 2,233 kes di Serian.

Yang membimbangkan kata Jamilah, anjing-anjing yang menggigit ini menunjukkan simptom Rabies, selain menggigit bahagian atas badan, termasuk muka biarpun tanpa diganggu atau dicabar.

“Ia amat berbahaya kerana dekat dengan otak,” katanya.

Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dengan anjing yang berada di kawasan sekitar mereka, tidak kira ia anjing liar mahupun peliharaan. — Sarawakvoice