KOTA BHARU: Keputusan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar meninggalkan Pas bukan sahaja sudah diagak sejak dulu, tetapi memberi ruang mudah untuk parti Islam itu terutamanya di Pokok Sena mengatur persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 , kata Naib Presiden Pas.
Menurut Datuk Mohd Amar Abdullah tindakan anggota Parlimen Pokok Sena adalah tepat kerana kalau tidak kehadirannya dalam parti hanya akan menimbulkan masalah kepada Pas.
“Jika tidak beliau diibaratkan seperti duri dalam daging. Saya gembira apabila Mahfuz keluar daripada Pas, umpama kita cabut duri dalam daging,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Khas Tahun Baru dan Perhimpunan Penjawat Awam di Kota Darulnaim hari ini.
“Sebab bila beliau duduk dalam Pas dan mengkritik pimpinan, macam duri dalam daginglah. Lebih baik beliau di luar bebas nak kata apa sebab dia bukan ahli Pas lagi,” katanya di sini.
Amanat disampaikan Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Mahfuz keluar parti berkuat kuasa 11.59 malam, 31 Disember lepas.
Selain Mahfuz, turut mengambil tindakan sama ialah isteri beliau, Datin Ruswati Jaafar, 58 dan anak mereka, Siti Nur Syahidah, 30.
Seorang lagi anak beliau, Muhammad Mujaheed, 35, sudah keluar parti setahun lalu.
Mahfuz yang menyertai Pas sejak 34 tahun lalu berkata misi pertamanya yang ingin menjadi penghubung antara Pas dan gabungan pembangkang PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sudah berlalu kerana partinya tidak bersedia untuk bergerak bersama pakatan berkenaan.
“Saya melihat sudah sampai satu peringkat PAS sudah tidak punya komitmen untuk memperjuangkan rakyat, terutama membabitkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) yang dijadikan alat kepentingan politik,” katanya dalam sidang media.
Ujarnya, sebagai ahli Pas beliau rasa dipermainkan.
Mahfuz mengakui menerima pelbagai cacian dan kecaman sejak mengumumkan keluar daripada parti yang disertainya 34 tahun lalu. — SARAWAKVOICE