Saturday, June 25, 2022

Isu Mahfuz: YB Amanah, Pas bersindir berpantun “ayam”, “harum manis” di media sosial

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar sekeluarga mengisytiharkan keluar Pas pada tengah malam 11.59, seminit lagi memasuki tahun baru 2018.

Mahfuz mengaku sedia menyertai mana-mana komponen Pakatan Harapan (Harapan) sebulan selepas itu.

Pengumuman Mahfuz turut ditonton lebih 30,000 netizen secara langsung di Facebook Parti Amanah Negara (Amanah).

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dalam reaksinya berkata, mereka sudah menjangkakan keputusan Mahfuz keluar Pas berdasarkan tindakan Mahfuz yang sering mempertikaikan kepimpinan Pas selama ini.

Hal ini bukan memeranjatkan menurut Takiyuddin yang mengaku menerima surat pengunduran Mahfuz pada 5.04 petang pada hari terakhir 2017 menerusi e-mel.

Sementara, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man Tuan menyindir di Facebooknya menganggap Mahfuz sebagai kelompok “harum manis” (mangga berwarna oren menyamai warna rasmi Amanah).

“Harum manis bila dah busuk, dia jatuh sendiri dan pada waktu itu sekupang pun orang tak mahu beli,” tulis Tuan Ibrahim.

Mahfuz salah seorang pemimpin Pas yang dilihat secara terbuka bersimpati dengan Amanah menyebabkannya mendapat julukan harum manis.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, “jangan jadi seperti ayam betina, bila bertelur dia sendiri terkejut dengan telurnya, riuh sekampung.

“Namun tiada siapa pun peduli kecuali jenis ayam juga,” ujar Tuan Ibrahim lagi terhadap Mahfuz yang digugurkan dari senarai calon Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Oktober lepas.

Kata pedas dan sindiran yang dimuat naik pemimpin Pas di media sosial itu turut mendapat reaksi pemimpin dari “Harum Manis” (Amanah) yang turut membalas “tembak” kenyataan mereka menggunakan media sosial.

Ahli Jawatankuasa Amanah Hanipa Maidin menulis di Facebook beliau bahawa ada pemimpin Pas kecewa dengan keluarnya Mahfuz sehingga mewiridkan harum manis sudah busuk akan jatuh sendiri dan ibarat ayam betina apabila bertelur riuh sekampung.

Ahli Parlimen Sepang itu menambah: “Bila anta kata seseorang itu harum manis sebelum busuk, paling kurang dia pernah juga orang hidu harum dan orang rasa mansis ya sheikh.

“Yang anta dengan geng anta tu harum pun tak pernah, manis jauh sekali, bukankah lagi teruk? Yang kami tahu anta dan geng “busuk” sokmo,” tambah beiau lagi.

“Jika YB Pokok Sena keluar parti suci ibarat ayam betina yang bertelur dan kecoh dan yang ambil peduli hanya ayam juga, sahlah anta lah ayam tu.

“Bukankan bila anta komen menunjukkan anta tu ambil peduli ya sheikh. Dalam parti anta pun ada orang yang amat rapat dengan pemimpin tertinggi dan dipanggil juga dengan gelaran ayam, janganlah komen anta menyebabkan dia pedih dan terasa pulak. Dia suci dan tak bersalah ya sheikh.

“Katakanlah satu Malaya kecoh sebab “ayam betina” bertelur, kekecohan itu sebab dia bertelur emas..tu yang jadi rebutan ramai,” sindir Hanipa.

Sementara, Naib Presiden Amanah Datuk Mujahid Yusof Rawa pula menulis pantun di Twitter yang turut dipercayai ditujukan kepada Tuan Ibrahim: “Harum manis busuk katanya,

gugur berbakti rakyat jelata,
tumpang tuan ingin bertanya,
yang berulat di atas milik siapa?”

Mujahid menambah:”Siang tidur malam berjaga,
harum bau si bunga melur,
riuh ayam berhasil juga,
diam tuan di mana telur?”

Sebelum ini, Pengerusi Amanah Kedah Datuk Dr Ismail Salleh menyifatkan tindakan terkini Mahfuz sebagai gelombang kedua anggota Pas menyokong dan menguatkan Harapan di Kedah.

Ismail percaya tindakan Mahfuz bersama isteri dan anaknya keluar Pas disertai ramai penyokong lain di peringkat akar umbi.

Beliau yakin secara senyap ramai ahli Pas beralih menyokong mana-mana komponen Harapan sama ada Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ismail mengandaikan negeri lain turut menyaksikan gelombang kedua penghijrahan itu  termasuk di Kelantan dan Terengganu. – SARAWAKVOICE

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru