MIRI: Ketua Menteri berkata kerajaan negeri sedang berusaha dengan AirAsia untuk meneroka lebih banyak peluang bagi membuka laluan penerbangan terutamanya ke utara Asia dan rantau ini bagi melonjakkan lagi industri pelancongan dalam negeri ini pada 2018.
Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kini terdapat peningkatan ketara dalam jalinan pengangkutan udara terutamanya penerbangan langsung antarabangsa.
Kuching baru-baru ini dihubungkan dengan Shenzen, China sementara Bintulu dengan Singapura oleh AirAsia.
Penerbangan langsung antarabangsa menghubungkan Miri dan Pontianak Indonesia melalui Xpress Air juga dimulakan pada bulan lalu.
Katanya, Sarawak sedang mencari peluang bersama AirAsia bagi mendapatkan lebih banyak penerbangan langsung ke negeri ini.
Sarawak menyasarkan untuk menarik 5.5 juta pelancong pada tahun ini.
Bagi membolehkan sasaran itu tercapai, penerbangan langsung antarabangsa bukan sahaja ke ibu negeri, tetapi juga ke Sibu dan Miri adalah penting.
Abang Johari berkata demikian dalam ucapan pelancaran Tahun Melawat Miri 2018 (TMM2018) malam tadi yang dibacakan oleh Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin.
Ketua Menteri berkata Miri mempunyai berapa destinasi pelancongan yang menarik termasuk taman negara seperti Piasau Nature Reserves, Bukit Lambir, Niah, Loagan Bunut, Usun Apau dan Tapak Warisan Unesco Mulu. – Sarawakvoice