MIRI: Hasrat tiga beranak untuk menyambut ketibaan 2018 bersama-sama tidak kesampaian apabila ajal mereka tiba awal dalam kemalangan maut berhampiran Kilang Rimbunam Hijau, Jalan Long Lama di Bakong dekat sini petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat kecemasan sekitar jam 3.20 petang tadi dan sebuah jentera FRT dan ambulans EMRS segera diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri dengan kekuatan lima anggota.

“Setibanya di lokasi sekitar satu setengah jam kemudian, pasukan mendapati kemalangan melibatkan dua jenis kenderaan yang bertembung iaitu Perodua Alza dan Toyota Hilux.

“Kenderaan Perodua Alza dikatakan dari arah Miri menuju Lapok manakala kenderaan Toyota Hilux dari arah bertentangan.

“Impak kemalangan tersebut menyebabkan tiga sekeluarga terbabit, yang merupakan penumpang kenderaan Perodua Alza maut serta-merta.

Pemandu kenderaaan Perodua Alza tersebut bagaimanapun hanya cedera ringan manakala pemandu Toyota Hilux, menurut polis, menghilangkan diri sejurus kejadian berlaku.

“Pasukan penyelamat kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian penumpang hadapan dengan menggunakan ‘hydraulic rescue tools’ sebelum menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Identiti mangsa yang maut kemudian dikenal pasti sebagai Eyeo Chun Hua, 51 tahun dan dua anaknya, Tan Ai Shan, 28 tahun serta Tan Kheng Wei, 11 tahun. – Sarawakvoice