KUCHING: Sekolah Menengah Kerajaan Julau No. 1 di Sarikei diisytiharkan sebagai kawasan terkini yang diwartakan sebagai kawasan jangkitan wabak Rabies di negeri ini, menjadikan keseluruhannya kepada 27 kawasan.

Perkara ini diumumkan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, petang semalam selaku Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

“Memandangkan kampung ini berada di luar 10 kilometer radius kawasan yang telah diisytihar kawasan wabak, maka ia dikategorikan sebagai kawasan baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Uggah turut mengumumkan bahawa daripada lima keputusan sampel anjing yang diterima daripada Institut Penyelidikan Rabies di Ipoh, kesemua kes ini positif virus Rabies.

“Empat daripada lima kes positif ini adalah dari kawasan Lorong Ketitir 1, Jalan Batu Kawa; Taman Sri Makmur, Batu 6, Jalan Matang, ; Kampung Atas Singai, Bau, dan Flat Taman Malihah, Jalan Matang, kesemuanya di Kuching.

Katanya, sebanyak 309 sampel yang terdiri daripada 282 anjing, 25 kucing dan 2 kelawar telah dihantar ke VRI, Ipoh untuk ujian virus Rabies.

“Setakat ini 300 keputusan sampel yang terdiri daripada 273 anjing, 25 kucing dan 2 kelawar telah diterima dan daripada keputusan tersebut, kira-kira 22.7 peratus yang terdiri daripada 62 sampel anjing dan enam kucing telah disahkan positif virus Rabies melalui Direct Fluorescent Antibody Test (dFA), Polymerase Change Reaction (PCR) dan Rabies Tissue Culture Infection Test (RTCIT).

Sehingga hari ini katanya lagi, jumlah keseluruhan kawasan yang telah diisytiharkan Wabak Rabies ialah 27 kawasan di tiga Bahagian iaitu Serian (20); Sri Aman (1); Kuching (4); Samarahan (1), dan Sarikei (1). – Sarawakvoice