Mahathir: ‘Semua Perdana Menteri adalah sementara, kalau mati susahlah sikit’

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan semalam cuba mengelak isu beliau kemungkinan menjadi Perdana Menteri sementara jika pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sambil cuba berseloroh, dengan gaya tipikal beliau ketika cuba mengelak untuk menjawab soalan kontroversi dan sensitif, Tun Mahathir menegaskan semua Perdana Menteri adalah bersifat sementara kerana mereka perlu berdepan PRU setiap lima tahun sekali.

“Semua PM sementara, dia bagi lima tahun, kadang-ladang kurang sikit, kalau sakit dia berhenti. Kalau dia (PM) mati, susahlah sikit,” katanya ketika menjawab sama ada dia kisah atau tidak menjadi Perdana Menteri sementara, sementara menunggu Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mengisi jawatan itu.

Tun Mahathir menjawab soalan pemberita pada sidang media selepas selesai Perhimpunan Agung Tahunan parti di Shah Alam, semalam.

PKR  baru-baru ini dilaporkan secara prinsip bersetuju dengan cadangan Pakatan Harapan  untuk menamakan Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sementara jika gabungan pembangkang berjaya menumbangkan  Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Keputusan itu dikatakan dibuat pada mesyuarat biro politik PKR pada 19 Disember lalu dan turut mendapat restu daripada Anwar yang kini masih meringkuk di Penjara Sungai Buloh.

Kalaupun dibebaskan Jun depan, Anwar masih belum boleh bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun. – SarawakVOICE