Tuesday, June 28, 2022

PRU tidak bergantung kepada persempadanan semula, kata SPR

Secara Rawak

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengatakan bahawa tarikh pilihan raya umum  (PRU) ke-14 tidak akan bergantung kepada selesainya urusan pelaksanaan persempadanan semula.

“Ada perbezaan antara persempadanan dengan pilihan raya. Persempadanan satu proses, pilihan raya satu proses. Pilihan raya tidak bergantung kepada persempadanan,” kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah kepada pemberita.

“Esok lusa pun boleh bubar Parlimen tanpa kira peersempadanan,” katanya lagi.

Untuk rekod,  asas untuk persempadanan semula adalah mengikut Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya jumlah pengundi di sesuatu kawasan tidak terlalu besar, melebihi 100,000 sehingga menyukarkan wakil rakyat.

Jumlah pengundi di setiap Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) mesti mengambil kira sama ada kawasan itu bandar, separa bandar atau luar bandar.

Berdasarkan Perkara 113 (2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, persempadanan semula boleh dilakukan selepas tempoh lapan tahun persempadanan kali terakhir tamat dan kali terakhir proses ini berlaku adalah pada tahun 2003 iaitu lebih 10 tahun lalu.

Persempadanan semula dilakukan pada 1958, 1974, 1984, 1994 dan 2003.

Sesetengah pihak meramalkan PRU-14 akan hanya diadakan selepas urusan proses persempadanan semula selesai. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru