Tuesday, May 11, 2021

Kapal Rusia, China, HK dituduh bekal minyak kepada Korea U, langgar sekatan PBB

Mesti baca

KAPAL tangki Rusia dilaporkan membekalkan bahan bakar kepada Korea Utara sekurang-kurangnya tiga kali dalam beberapa bulan terakhir sejak September lepas.

Menurut Reuters, dua sumbernya yang merupakan petugas senior keselamatan Eropah barat menyebut, minyak dibekalkan melalui pemindahan kargo di laut.

Rusia pemegang kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melanggar sekatan mutakhir yang dikenakan PBB kepada Korea Utara.

Kapal Rusia Pindah Petrokimia Ke Kapal Korea Utara

Sumber rahsia menyebut kapal Rusia menghantar petrokimia dari kapal ke kapal pada tahun ini yang melanggar sekatan PBB itu.

Sumber rahsia lain menyebut, meskipun benar kegiatan membekalkan bahan bakar dari kapal ke kapal dilakukan oleh kapal milik warga Rusia, namun tiada bukti ia disokong oleh kerajaan Rusia.

Sementara, data posisi satelit kapal bawah pemerhatian menunjukkan pergerakan “luar biasa” beberapa kapal Rusia termasuk mematikan transponder yang dapat memberikan lokasi tepat mereka.

Sumber menyebut kapal tangki berbendera Rusia Vityaz antara kapal memindahkan bahan bakar ke kapal Korea Utara.

Trump Tuduh China Bekal Minyak Kepada Korea Utara

Sementara, Presiden AS Doland Trump secara jelas menuduh China turut menjual minyak ke Korea Utara.

Korea Utara memerlukan bahan bakar demi memelihara ekonomi dalam negaranya.

Bahan bakar juga diperlukan sebagai sumber meneruskan ujian peluru berpandu balistik antara benua dan membangunkan program nuklear yang dianggap mengancam perdamaian Asia.

Trump mengesali sikap China itu yang selama ini menganggap AS sangat lunak dengannya

Trump dalam wawancara The New York Times berkata, “saya lunak dengan China kerana satu hal lebih penting bagi saya daripada perdagangan adalah perang.”

Trump dalam kempennya sebelum ini pernah berjanji bertindak tegas terhadap China yang dituduhnya curang, memanipulasi mata wang hingga menyebabkan defisit besar dalam perdagangan China-AS.

Pada 2016 defisit perdagangan AS dengan China mencapai AS$350 bilion, belum mengambil kira “pencurian” harta intelek bernilai AS$300 bilion.

“Tertangkap basah, sangat kecewa China membiarkan penghantaran minyak ke Korea Utara. Tidak ada solusi bersahabat bagi masalah Korea Utara jika ini terus terjadi,” tulis Trump di Twitter.

“ketika minyak masih masuk, saya tidak senang,” tambah Trump.

China bagaimanapun menafikan membekal minyak kepada Korea Utara dan tidak bersetuju dituduh melanggar sekatan PBB itu.

Resolusi Dewan Keselamatan PBB yang diluluskan menetapkan semua negara anggota melarang kapal Korea Utara memasuki pelabuhan negara masing-masing, kecuali darurat atau mendapat persetujuan PBB.

Akbar Korea Selatan Chosun Ilbo melaporkan satelit pengintip AS mengesan kapal China memindahkan minyak 30 kali ke kapal Korea Utara sejak Oktober.

Kapal Hong Kong Ditangkap Pindah Minyak ke Kapal Korea Utara

Sementara, dalam perkembangan lain Korea Selatan menangkap kapal Hong Kong yang didakwa menjual minyak kepada Korea Utara sekali gus melanggar sekatan PBB.

Menurut pejabat Kementerian Luar Korea Selatan, Kapal Lighthouse Winmore berangkat dari Pelabuhan Yeosu membawa minyak lalu memindahkannya ke kapal Korea Utara di perairan antarabangsa.

Kapal Lighthouse Winmore ditangkap ketika memasuki Pelabuhan Yeosu di Korea Selatan pada 24 November.

Jurucakap Kementerian Luar Korea Selatan memberitahu CNN, “ini salah satu cara Korea Utara menggunakan jaringan tidak sah mengelak sekatan PBB.”

Media Hong Kong turut melaporkan Lighthouse Winmore salah satu dari 10 kapal yang diminta AS kepada PBB dilarang berlabuh di pelabuhan antarabangsa kerana hubungannya dengan Korea Utara itu. – SarawakVOICE

Secara Rawak

Artikel Terbaru